Kreta suspek pemuda 23 tahun yang ditahan bersama dadah Ketamin dan wang tunai oleh Polis PJ dalam sekatan Covid PKP di PJS 2 semalam.

PETALING JAYA – Seorang pemuda yang memandu kenderaann secara berbahaya dengan menggunakan telefon bimbit dan melanggar sekatan jalan raya, Op Covid-19 di Petaling Jaya ditahan polis semalam.

Hasil pemeriksaan polis ke atas suspek yang berusia 23 tahun membawa kepada penemuan dadah jenis ketamin dan wang tunai dipercayai hasil urusniaga kegiatan terlarang itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang di Plaza Tol PJS 2 semalam.

Katanya, suspek yang memandu kereta jenis Audi hitam secara berbahaya telah melanggar sekatan jalan raya yang dilaksanakan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun begitu tiada sebarang kecederaan berlaku terhadap para anggota dan pegawai yang bertugas di tempat insiden.

“Punca kejadian dipercayai suspek menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaannya dan akibat perlanggaran sekatan sebanyak 20 kon dan lapan lampu mata arah (blinker) dan papan tanda pemeriksaan polis rosak.

“Hasil pemeriksaan polis ke atas suspek menemui lima paket plastik lutsinar oren mengandungi dadah jenis Ketamin dan berjaya dirampas barang terlarang di sisi undang-undang itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Nik Ezanee berkata, dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5.1 gram dan polis menemui tunai RM19,082 yang dibalut dengan plastik lutsinar daripada pemeriksaan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati individu itu positif dadah jenis Methaphetamine dan Ketamin.

“Siasatan terperinci polis juga mendedahkan suspek memiliki rekod jenayah lampau kes dadah.

Kon pemeriksaan sekatan jalan raya oleh polis rosak selepas dilanggar kenderaan audi yang dipandu pemuda sebelum dicekup bersama Ketamin semalam. Foto:Kredit PDRM PJ

“Dia ditangkap di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Suspek turut dicaj di bawah Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua dua sekali jika disabitkan kesalahan selain turut disiasat dibawah Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum penjara tidak melebihi 12 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahannya,” tegas beliau.