Pengalaman bertugas sepanjang PKP membuka mata penghantar pizza Mohd. Shafid Md. Yassin

KUALA LUMPUR- Bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan memberikan satu pengalaman yang sangat berbeza bagi seorang penghantar pizza.

Mempunyai pengalaman selama 14 tahun sebagai penghantar pizza Domino’s, Mohd. Shafid Md. Yassin, 35, mengakui pengalaman tersebut telah membuka minda dan membina ketahanan diri yang lebih kuat kepada dirinya.

Katanya, protokol lebih ketat daripada segi penjagaan kebersihan dan penjarakan sosial perlu dipatuhi kerana ianya sangat penting bagi menjaga keselamatan dan kesihatan diri serta pelanggan.

Domino’s merupakan syarikat pertama yang mewajibkan pelaksanaan Zero Contact bagi perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang, menunjukkan komitmen syarikat terhadap kebajikan warga kerjanya dan pelanggan.

“Setiap hari ada pasang surutnya.

“Teringat perbualan saya bersama para penghantar pizza yang lain, kami dapat melihat nilai dalam pelaksanaan ini dan kami menghargai setiap aspek operasi yang diambil kira semasa kami beroperasi dalam keadaan getir ini,” katanya dalam satu emel.

Tambah Shafid, selain penghantaran kepada pelanggan biasa, mereka juga ditugaskan untuk membuat penghantaran kepada polis dan tentera yang sedang bertugas sepanjang tempoh PKP.

Ini katanya membuatkan beliau lebih memahami betapa besarnya tanggung jawab barisan hadapan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dibendung.

“Mereka berbangga untuk berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan demi negara.

“Saya dapat merasai keihklasan hati mereka yang mahu memastikan setiap rakyat Malaysia selamat dan bebas Covid-19.

“Dari situ, saya dapat melihat, sebagai seorang penghantar pizza, saya juga sedang menyumbang sesuatu kepada masyarakat dengan cara saya sendiri,” katanya lagi.

Justeru Shafid berazam untuk terus menggalas tugas dengan penuh dedikasi dan berhasrat untuk meningkatkan lagi keupayaan supaya boleh menjadi seorang pemimpin pasukan dan seterusnya melakukan perubahan dalam kehidupan masyarakat.-MalaysiaGazette