Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) diminta agar lebih peka dan sensitif terhadap isu wanita ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Perkara itu ditegaskan Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) apabila menggesa supaya menterinya, Datuk Seri Rina Harun tidak memberi saranan kurang matang seperti “bercakap seperti Doraemon” dan “berhias-hias” kerana ia dilihat merendahkan martabat kaum hawa.

Ketuanya, Shahir Adnan berkata, apa yang dilakukan oleh Rina itu telah menyebabkan sekali lagi nama Malaysia tular di seluruh dunia gara-gara kerana isu berkenaan yang tidak masuk akal.

“Seharusnya Kementerian Pembangunan Wanita memberikan fokus kepada nasib wanita-wanita yang kini berada 24 jam di dalam rumah.

“Ada wanita yang menghadapi kemurungan, kepenatan emosi dan lebih menyedihkan jika berhadapan dengan pemangsa yang mendera mental, emosi atau fizikal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, kementerian sepatutnya mempromosikan Talian Kasih untuk menjaga kebajikan wanita dan berhubungan dengan mereka di luar sana.

Tambahnya, DPIM menggesa menteri-menteri agar tidak menghabiskan masa, tenaga dan wang rakyat ketika negara sedang berhadapan krisis wabak Covid-19 dengan membuat gimik-gimik tidak berfaedah seperti insiden menyah-cemar.

Katanya, barisan hadapan atau “frontliners” seharusnya diberikan ruang untuk melaksanakan tugas mereka tanpa dikacau dengan kehadiran menteri yang mahukan perhatian media.

“Gimik seorang menteri menyah-cemar kawasan adalah tidak berfaedah ketika krisis ini.

“Tugas seorang menteri adalah memikirkan dasar-dasar yang bagus untuk rakyat dan melaksanakan dengan bijaksana,” ujarnya.

Dengan memberikan contoh terbaik tugas menteri yang digalas oleh Datuk Seri Ismail Sabri, Shahir berkata, Menteri Pertahanan itu sentiasa peka terhadap situasi semasa sama seperti Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican yang turut turun padang bersama Majlis Belia Malaysia menyantuni anak muda yang terkesan akibat krisis tersebut.

Tidak terkecuali juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul yang dalam diam-diam bekerja keras menghasilkan Pakej Rangsangan Ekonomi, serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim yang melaksanakan kajian genetik Covid-19 dalam sistem pembentungan kita, katanya.

“Mereka semua bekerja tanpa gimik politik, tahniah,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Saranan guna suara Doraemon masa PKP jadi perhatian

1 Komen

Comments are closed.