Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Mohamad Sabu secara peribadi ‘tidak percaya’ surat berbahasa Arab yang dihantar kepada gerakan Islam, yang menceritakan mengenai situasi politik semasa di Malaysia, ditulis oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada masa sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyatakan, kandungan itu adalah fitnah yang sangat besar kepada pihak yang dinyatakan dalam surat berkenaan.

“Beberapa hari ini tersebar surat berbahasa Arab yang didakwa ditulis oleh Abdul Hadi kepada gerakan-gerakan Islam bagi menjelaskan situasi politik semasa di Malaysia.

“Setelah meneliti kandungan surat tersebut, ia adalah suatu fitnah yang sangat besar kepada pihak yang disebut di dalam surat itu.

“Secara peribadi, saya berkeyakinan surat tersebut bukanlah tulisan beliau (Abdul Hadi). Ini kerana beliau adalah seorang ulama yang telah membimbing saya ketika dalam Pas sebelum ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Surat yang tersebar sejak Sabtu lalu itu, mendakwa Abdul Hadi membangkitkan beberapa dakwaan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain mempertahankan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menurut surat yang ditulis dalam bahasa Arab itu, Presiden Pas menceritakan sejurus selepas PRU14, parti Islam itu mengadakan pertemuan dengan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) bagi membincangkan kedudukan orang Islam dalam negara ini.

“Maka, Pas telah mengambil langkah politik bekerjasama (taawun) secara jalan damai dan memilih hubungan dengan Mahathir memandangkan sikap nasionalis dan semangatnya mempertahankan Islam.

“Pas menolak kerjasama dengan kumpulan Anwar kerana tidak yakin karakter peribadi dan akhlaknya serta pendirian politik pragmatiknya yang berbahaya,” tulis Abdul Hadi yang dipetik dalam kandungan surat bertarikh 22 Mac 2020 dengan tajuk “Gerakan Islah Secara Aman, Bukan Rampasan Kuasa dan Revolusi” itu.

Menurut Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu, walaupun pada 2015 beliau bersama beberapa pemimpin Pas ketika itu mengambil langkah politik berbeza dengan keluar Pas dan menubuhkan parti Amanah, tetapi penghormatan terhadap Abdul Hadi tidak pernah hilang sebagai seorang ulama yang dijelmakan dalam Pas sejak sekian lama.

Namun, katanya, jika benar ianya ditulis oleh Ahli Parlimen Marang itu, ia merupakan satu tindakan yang sangat tidak berakhlak.

“Ini kerana, surat tersebut sarat dengan fitnah, fakta yang salah dan tuduhan yang sangat jijik. Lebih-lebih lagi dilakukan oleh seorang yang bergelar ulama.

“Hampir keseluruhan kandungan surat tersebut adalah fitnah yang direka oleh penulis untuk memburukkan lawan politik mereka.

“Apatah lagi ia melibatkan dakwaan sokongan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan pihak istana dalam usaha menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang baru-baru ini,” katanya.

Beliau yakin, pihak berkuasa polis dan tentera tidak sesekali terlibat dalam konspirasi politik tersebut dan nama mereka tidak sepatutnya dikaitkan.

Oleh itu, beliau menunggu penafian daripada Abdul Hadi terhadap surat tersebut yang memberi sedikit kesan kepada pihak difitnah, namun kesan besar kepada penulis yang statusnya seorang ulama. – MalaysiaGazette