Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Seorang remaja perempuan berusia 23 tahun merupakan antara yang maut akibat wabak Covid-19.

Beliau menuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan menetap di Kota Samarahan, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang menghidap penyakit tiroid lambat mendapatkan bantuan dari hospital.

“Mangsa perempuan ini mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 dan merupakan generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching.

“Beliau telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac dan disahkan meninggal dunia hari ini jam 9.42 pagi tadi.

“Mangsa juga telah mendapatkan rawatan pada tahap akhir jangkitan ini dengan keperluan bantuan pernafasan hujung bulan lepas.

Kita ucapkan takziah kepada keluarga mereka,” katanya pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini sambil menambah jumlah keseluruhan angka korban wabak itu sebanyak 67 kes setakat ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang maut merupakan warganegara Malaysia berusia 54 tahun yang menghidap penyakit autoimun dan beberapa penyakit kronik lain.

“Beliau mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling sebelum ini dan telah mula dirawat sejak 30 Mac lepas.

“Disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka pada 5 pagi tadi,” kata Noor Hisham.

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu, sejumlah 72 pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), penurunan berbanding 76 pesakit semalam.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 43 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, berkurang daripada 45 pesakit semalam.

“Seperti selalu saya meminta supaya orang ramai terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi pada setiap masa dan penjarakan sosial,” katanya. – MalaysiaGazette