Dr. Mahathir Mohamad

BERIKUT ini adalah ulasan Rosli Dahlan terhadap tulisan Haniff Khatri bertajuk “Analisa Perundangan Berhubung Isu Pucuk Pimpinan PPBM”.

Tulisan Haniff Khatri ini antara lainnya mendakwa:

(a) Tun Dr. Mahathir Mohamad sudahpun disahkan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang “menang tanpa bertanding” untuk pemilihan parti 2020 ini.

(b) Sehingga pemilihan diselesaikan, selain dari Tun Dr. Mahathir sebagai Pengerusi yang disahkan kemenangan pemilihannya, semua pemegang jawatan lain tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tugas masing-masing.

(c) Satu-satunya pihak yang boleh memanggil mana-mana mesyuarat sah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum daripada tempoh penyelesaian pemilihan parti adalah Pengerusi sah parti kini, iaitu Tun Dr. Mahathir.

Jawapan Rosli Dahlan terhadap analisa perundangan oleh Haniff Khatri:

Saya terpanggil untuk menjawab hujahan Haniff Khatri dalam Siri 2048 10 April 2020 yang mengandungi kesilapan tafsiran terhadap Perlembagaan PPBM sehingga menimbulkan kecurigaan apakah tujuan sebenar Haniff menulis analisa tersebut.

Saya mahu mempercayai Haniff jujur memberikan pandangan perundangan berkenaan PPBM, tetapi apakah perlunya dia mengalamatkan seruannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan memviralkan analisa itu di mayapada internet untuk menarik perhatian semua netizen kepada isu parti?

Sebelum ini, Hanif juga membuat kenyataan umum yang tersasar berkenaan pemberhentian Setiausaha Agung PPBM yang telah saya jawab dengan jelas dan terperinci sehingga Haniff bersetuju untuk tidak bersetuju dengan jawapan saya itu (agree to disagree). Dalam menghormati etika perdebatan, saya tidak memanjangkan perkara itu.

Namun, kini Haniff mengulangi perbuatannya itu dan wajarlah sekali lagi saya menjawabnya supaya ahli parti dan rakyat Malaysia tidak terkeliru dan dapat membuat penilaian yang objektif ke atasnya. Diharapkan Haniff akan menerima pandangan saya sekali lagi sebagai bukti bahawa beliau tidak mempunyai niat dan motif tertentu serta terbuka menerima kritikan bila salah.

Tetapi, hakikatnya ialah tafsiran Haniff berkenaan Perlembagaan PPBM mengandungi kesilapan. Saya sayang kepada Haniff dan tidak mahu dia dituduh membuat hujahan songsang dengan tujuan tidak murni.

Haniff seharusnya tahu, PPBM sebagai parti yang menerajui kerajaan campuran hari ini memerlukan perpaduan dan solidariti yang utuh. Apakah tujuan sebenar Haniff membuat hujahan kepada umum, bukan secara langsung kepada parti?

Tidakkah Haniff sedar perbuatannya itu boleh memecah belahkan parti menjadi bercelaru dan lemah sehingga boleh ditumbangkan seperti tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), bak pepatah, bersatu kita teguh bercerai kita roboh?

Analisa Haniff dalam Siri 2048 menyeru supaya semua ahli parti menghentikan politiking. Tetapi, pada masa sama, beliau memberikan pandangan perundangan yang berbentuk partisan sehingga boleh mengeliru dan menggugat perpaduan parti.

Haniff mencanangkan sokongan kepada Tun Dr. Mahathir dengan mempertikaikan kewibawaan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan Presiden PPBM. Saya tidak mahu Haniff dituduh tidak jujur. Saya tidak mahu Haniff dianggap sebagai serigala yang menyerupai domba atau sebagai gunting dalam lipatan.

Tafsiran Haniff memberikan gambaran seolah Tun Dr. Mahathir adalah satu-satunya sahaja penjawat parti yang sah, semua yang lain dipertikai dan tidak sah. Haniff mengolah fakta mengenai peletakan jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai kemelut politik dan kemudiannya mempertikaikan kedudukan dan peranan MPT dengan menyimpulkan MPT adalah di bawah telunjuk Tun Dr. Mahathir yang mempunyai kuasa sah mutlak sebagai Pengerusi PPBM.

Oleh itu, adalah perlu saya memperbetulkan fakta dan hujahan terkeliru yang dikemukakan tersebut supaya isu yang dibangkitkan menjadi jelas dan ahli PPBM menjadi yakin tindakan MPT dan Presiden PPBM adalah sah menurut lunas undang-undang.

Pada 16 Mac 2020, Pendaftar Pertubuhan telah mengeluarkan perintah di bawah Seksyen 3A Akta Pertubuhan bagi menghalang sebarang mesyuarat atau aktiviti persatuan akibat daripada pandemik Covid-19. Keputusan tersebut dibuat sebagai darurat kesihatan negara demi keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia.

Kesan dari itu, semua pertubuhan termasuk parti politik juga termasuk PPBM, tidak boleh menganjurkan mesyuarat agung tahunan dan pemilihan masing-masing.

Semua pemilihan dikehendaki ditangguhkan sehingga selepas 30 Jun 2020 termasuk persidangan bahagian yang mengundi bagi pemilihan penjawat-penjawat PPBM. Menurut Fasal 14.2 Perlembagaan PPBM, MPT adalah terikat untuk melaksanakan semua peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

Ini bermakna semua penjawat PPBM perlu meneruskan dan menjalankan tanggungjawab jawatan mereka sehingga MPT boleh menganjurkan persidangan bahagian selepas 30 Jun 2020.

Penerusan penjawat tersebut sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan PPBM yang tidak menghalang pelaksanaan kuasa-kuasa sesuatu jawatan melalui pemilihan. Ini bermakna seseorang penjawat yang telah melalui pemilihan menjadi MPT juga akan terus memegang jawatan dan melaksanakan tanggungjawab jawatan tersebut sehinggalah pemilihan diadakan di peringkat persidangan bahagian yang hanya boleh diadakan selepas 30 Jun 2020.

Adalah satu tafsiran salah untuk menganggap, jika terdapat hanya seorang calon bagi suatu jawatan yang tidak dipertandingkan, maka calon tunggal itu telah menang. Itu kesilapan besar oleh Haniff. Sesuatu pencalonan jawatan yang tidak dipertandingkan jelas hanya bermakna tiada calon lain yang bertanding dan bukan calon tunggal tersebut telah menang.

Sebaliknya, kedudukan semua calon hanyalah tetap sebagai calon bagi jawatan yang dicalonkan atau dipertandingkan sehingga suatu pemilihan diadakan dan ditentukan di peringkat persidangan bahagian selepas 30 Jun ini.

Dalam keadaan demikian, MPT berkuasa menjalankan semua tugas rasmi dan melaksanakan tanggungjawab dan mandat diberikan pada Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu dan Majlis Presiden Parti berkuasa sah untuk mengurus serta mentadbir parti menurut peruntukan fasal berkenaan dengannya dalam Perlembagaan PPBM.

Perlu diingat, jawatan Setiausaha Agung bukan jawatan yang dimenangi melalui pemilihan. Ia adalah jawatan lantikan yang dibuat oleh Presiden parti secara rundingan dengan Pengerusi parti.

Ini satu lagi contoh tafsiran salah dalam hujah Siri 2048 oleh Haniff. Terdapat perbezaan jelas antara jawatan melalui pemilihan dan jawatan melalui lantikan. Itulah sebabnya kuasa untuk memberhentikan seseorang Setiausaha Agung dan kuasa untuk melantik seorang Setiausaha Agung yang baru terletak dengan, boleh dan telah dilaksanakan oleh Presiden parti.

Pelantikan Setiausaha Agung yang baru oleh Presiden parti telah dilaksanakan dengan betul dan sah apabila Presiden memaklumkan kepada Pengerusi mengenai hasratnya untuk melantik Setiausaha Agung yang baru dan Pengerusi telah pula memberikan pandangannya.

Maka satu perundingan, semampu yang boleh di bawah kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah pun dijalankan menurut peruntukan Perlembagaan PPBM dan kuasa membuat pelantikan seorang Setiausaha Agung yang baharu oleh Presiden telah dibuat secara sah dan teratur.

Inilah peruntukan fasal-fasal yang relevan kepada perbincangan dan hujahan di atas:

16.9. Jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan itu sehingga diadakan pemilihan untuk memilih Pengerusi baharu mengikut Fasal 13.3 dan ia mempunyai kuasa mengikut Fasal 16.2.

14.2. Menunaikan segala syarat-syarat yang dikehendaki oleh Akta Pertubuhan 1966.

13.3. Tertakluk kepada Fasal 14.14, Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Pengerusi, Presiden, Timbalan Presiden, tiga (3) orang Naib Presiden dan dua puluh (20) orang Ahli Majlis  Pimpinan Tertinggi hendaklah dipilih dalam Persidangan Bahagian tiap-tiap tiga (3) tahun sekali.

14.14. Majlis Pimpinan Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) bulan daripada tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan. – MalaysiaGazette

Rosli Dahlan

Rosli Dahlan adalah seorang peguam yang juga Ahli Lembaga Pengarah UDA Holdings Berhad.

5 Komen

  1. Kalau kusut sangat yg tersimpul tu.. potong je.. buang masa nak relaikan.. niaga dahlah kurang, untung makin ciput .. ni nak pk kusut pulak.. lama2 kusut pun jg gundu.

  2. syabas
    ybhg.datuk rosli dahlan,diatas pencerahan isu.lebih baik atuk dok stay at home aje.cukup2lah bawa masalah pd negara.rakyat sdh derita ni.

  3. Biarkan mereka berhujah dari segi perundangan.
    Betul..ros telah memberikan arahan utk hentikan sebarang kegiatan politik…
    Hmmm yg kuat berpolitik tu siapa ?
    Kem tun m @ kem muhyidin ?
    Disinilah persoalan nya
    Bila pengkhianat menjerit khianat.

    Sekarang bukan zaman katak dibawah tempurung.
    Kalau mahu jilat…jilatlah.
    Tapi jangan jilat sehingga melanggar prinsip kebenaran.

    Tak cukup lagikah.
    Kami yg bersusah payah balik kampung.
    Kami yg keluar duit utk balik kampung.
    Kami yg cuti tanpa gaji.
    Kami yg berpanas utk beratur.
    Kami yg berjaga malam.

    Semata-mata nak tegakkan demokrasi & suburkan keluhuran parlimen.

    Akhirnyaaaaaa.
    Semua penat kami.
    Semua pengorbanan kami
    Semua cita-cita kamu.

    HANCURRRRRRRR
    OLEH PEMIMPIN KHIANAT.

    ADAKAH KAMI BOLEH MAAF KAN !!!

    Beberapa surah yg Allah bagi peringatan kepada orang-orang yg khinat :

    1. Surah AlHajj. Ayat 038.
    Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.

    2. Surah AnNisaa’. Ayat 107.
    Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.

    3. Surah Yusuf. Ayat 106.
    Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

    4. Surah AlAnfaal. Ayat 058.
    Dan jika engkau mengetahui adanya perbuatan khianat dari sesuatu kaum (yang mengikat perjanjian setia denganmu) maka campakkanlah (perjanjian itu) kepada mereka dengan cara terus terang dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.

    5..Surah AlAnfaal. Ayat 027.
    Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

    6. Surah AnNisaa’. Ayat 105.
    Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

    7. Surah Ali’Imran. Ayat 057.

    Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh, maka Allah akan menyempurnakan pahala mereka dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

    8. Surah AlAnfaal. Ayat 071.
    Dan jika mereka (orang-orang tawanan itu) bertujuan hendak melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun melakukan khianat kepada Allah (dengan kekufuran mereka) sebelum itu, lalu Allah menjadikan (engkau) mengalahkan dan menundukkan mereka; kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

    9. Surah Ali’Imran. Ayat 161.
    Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang) dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), dia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).

    10. Surah Ali’Imran. Ayat 032.
    Katakanlah (wahai Muhammad): Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.

    *Seharusnya sesiapapun yang dijulang selaku pemimpin perlu insaf perihal peringatan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila Allah menghimpunkan manusia yang terdahulu dan yang kemudian pada hari kiamat, tiap-tiap orang yang khianat akan diangkat satu panji-panji yang boleh dikenali ramai. Dikatakan kepadanya, Inilah pengkhianatan pulan bin pulan…”* (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Jika rakyat tidak mampu menghalang pemimpin yang melakukan khianat, maka lakukan lah dengan membenci mereka@bukan menyokong, kerana kerja yg mereka lakukan itu adalah bersifat Fasiq.
    (Tuan Guru Nik Abdul Aziz)

    Haram gajinya bila YB yg dipilih rakyat melompat keparti lain.
    (YB Uztad Nasruddin Tantawi@ulama pas)

  4. Siapa yang khianat weeeiii? Medey yang khianat mandat rakyat dengan letak jawatan…sape suruh letak jawatan?????? pooodaaahhh…dan ko jangan lupa semua Ahli Parlimen BN dan UMNO yang melompat masuk ke Bersatu itu ialah ketika Bersatu masih dalam Pakatan Harapan. Masa tu boleh plak? Dan jangan lupa kisah Anwar Ibrahim dengan Projek lompat Parti pada 16 September 2008…kononnya ada 30 ahli parlimen BN akan lompat menyokong Nuar Beghahim…juga jangan lupa ahli politik Sabah yang melompat masuk ke Warisan hingga menumbangkan kerajaan BN yang sah…Cakap pasal khianat tu…ko pi tanya Ahli parlimen Amanah yg khianat kepada PAS..Dan yang terakhir…Azmin dan rakan-rakanya tidak melompat parti tapi dipecat oleh PKR…bengong sibuk org dengn Covic dia sibuk nak bersajak sajak…puiiiii

Comments are closed.