KUALA LUMPUR – Malik Streams Corporation tampil menyumbang 2,000 bungkusan makanan serta barangan masakan kepada penghuni di Masjid India yang kini sudah menjadi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sepenuhnya.

Pengarah Urusan Malik Streams Corporation Sdn Bhd, Datuk Abdul Malik Dasthigeer memberitahu MalaysiaGazette, beliau bersama-sama jawatankuasa kebajikan syarikatnya membantu menyumbang keperluan penting terutamanya makanan tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Jelasnya, ramai yang terjejas dengan Covid-19, bukan sahaja pesakit mahupun barisan hadapan yang merawat tetapi juga  penghuni kawasan PKPD.

Selain barisan hadapan, rumah-rumah anak yatim, pemandu teksi, pusat-pusat tahfiz dan warga asing juga menjadi fokus bantuannya.

“Kita sendiri tidak menyangka wabak pandemik seperti ini akan berlaku di sini.

“Kerajaan bertungkus lumus siang malam memastikan penularan wabak ini dapat di bendung dan kami di Malik Streams Corporation juga tidak mahu ketinggalan selagi mampu.

“Saya dulu pernah juga menetap di kawasan Masjid India.  Selangor Mansion dan Malayan Mansion ini tidaklah begitu asing bagi saya.

“Apabila penghuni sini dikenakan PKPD, ramai mengadu tiada makanan. Itu juga menyebabkan Malik Streams tampil menyumbang makanan, selain barangan makanan lain kepada golongan yang memerlukan ini,” katanya sebentar tadi.

Sejak bermulanya arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malik Streams terus aktif dalam melakukan kebajikan antaranya dengan menyumbang makanan kepada ‘frontliners’ di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selain makanan, syarikat ini juga menyumbang sejadah kepada pasukan polis, selain itu anak-anak yatim, keluarga asnaf, pusat tahfiz sekitar Kuala Lumpur, Selangor. – MalaysiaGazette

Covid-19 : Malik Streams sumbang makanan ringan kepada warga HKL