Raul Jimenez.

LONDON – Penyerang Wolverhampton Wanderers, Raul Jimenez terus mendapat pengiktirafan apabila memiliki kualiti yang diperlukan untuk memperkuatkan jentera serangan Manchester City.

Pujian itu diberikan oleh pemain tengah juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sendiri, Ilkay Gundogan.

Penyerang kelahiran Hidalgo, Mexico itu ketika ini menikmati musim memberangsangkan selepas menjaringkan 22 gol dalam 44 penampilan dalam semua pertandingan bersama Wolves.

Jimenez yang dipinjamkan dari Benfica pada musim lalu pantas memberikan impak positif untuj membantu Wolves menamatkan saingan EPL 2018/19 di tempat ketujuh, sekaligus melayakkan kelab tersebut ke pusingan kedua kelayakan Liga Europa musim ini.

Sedar mampu menjadi tonggak di barisan depan pasukan, pengurus Wolves, Nuno Espirito Santo cepat melengkapkan perpindahan secara tetap dengan nilai berjumlah £30 juta.

Melihatkan kepada kualiti yang dimiliki Raul Jimenez, Gundogan menilai penyerang tersebut mampu untuk menjadi tambahan hebat buat Manchester City.

”Saya merasakan dia memiliki semua kriteria diperlukan oleh seorang penyerang berkelas dunia.

”Sebagai seorang penyerang, dia cepat bergerak tetapi secara fizikalnya sangat bagus dan berbakat secara teknikal ketika bersama bola. Saya dapat membayangkan sekiranya dia bermain bersama kami,” ujar Gundogan menurut laporan Goal.

Sumbangan hebat Jimenez dan rakan sepasukannya telah melayakkan Wolves beraksi di peringkat 16 Liga Europa musim ini dan telah diundi untuk bertemu wakil Greece, Olympiakos.

Aksi pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Bagi saingan EPL pula, Wolves masih di landasan terbaik untuk menamatkan saingan di kelompok empat pasukan terbaik sekaligus melayakkan diri ke kempen Liga Juara-Juara  musim hadapan. – MalaysiaGazette