Wartawan Kanan Malaysia Gazette, Radzuan Hassan (dua kiri) dan Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori (kiri) menyampaikan makanan asas kepada orang ramai pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Keceriaan jelas terpancar pada wajah 50 keluarga di PPR Desa Tun Razak di sini selepas menerima bantuan keperluan harian untuk menyambut bulan Ramadan ini.

Bantuan keperluan harian seperti beras, minyak, garam, gula dan bahan makanan lain diserahkan oleh portal berita, MalaysiaGazette bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Wartawan Kanan MalaysiaGazette, Radzuan Hassan berkata, penganjuran kali ketiga program itu pada bulan mulia ini atas atas dasar prihatin dan menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat untuk menyantuni golongan tidak bernasib dan kurang berkemampuan.

Pengurus Pemasaran Malaysia Gazette, Zairul Ahsorori (kiri) bersama sebahagian penduduk membawa makanan asas untuk diagihkan pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

“Untuk makluman, PPR ini memiliki 9,331 penghuni dan terdapat kira 452 keluarga asnaf yang tinggal di sini melibatkan golongan ibu tunggal, pesara selain keluarga mempunyai anak yang ramai.

“Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka apatah lagi yang ketua keluarga yang tidak dapat bekerja ketika arahan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

“Pada masa sama, kunjungan MalaysiaGazette dapat membantu keluarga mereka membeli barangan dapur sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19” katanya selepas Program Ziarah Ramadan MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebahagian penduduk membungkus makanan asas untuk diagihkan pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Program tersebut merupakan kerjasama antara Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Bandar Tun Razak, Yayasan Aminah dan beberapa individu yang turut tampil memberi tajaan.

Turut hadir membuat lawatan rumah ke rumah adalah Penasihat Yayasan Aminah, Datuk Seri Izwan Shah Datuk Arif Shah selain Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar.

Radzuan menambah, selain sumbangan keperluan asas, pihaknya turut menziarahi keluarga itu bagi mendekati dan berkongsi pengalaman golongan yang berdepan kesukaran hidup di bandar.

Penduduk, Zulkifli Idris bercakap pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Sementara itu, seorang penerima yang juga mekanik, Zulkifli Idris, 56, melahirkan rasa syukur atas sumbangan yang diberikan dan ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban sepanjang PKP.

“Saya berterima kasih kepada MalaysiaGazette yang memberi sumbangan ini kerana mereka prihatin terhadap waktu sukar yang kami tempohi dan melalui pemberian ini sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan hidup pada awal Ramadan ini,” katanya yang membaiki kereta dengan menunggu panggilan pelanggan.

Penduduk, Hasnah Hasan selepas menerima agihan makanan asas pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Bagi seorang lagi penerima, Hasnah Hasan, dia menyifatkan sumbangan keperluan asas itu sebagai rezeki Ramadan kerana tidak bekerja sebelum PKP lagi.

Jelasnya, walaupun memiliki keluarga yang kecil, namun dia menjaga ibunya berusia 92 tahun yang memerlukan lampin pakai buang dan anak perempuan yang belum mendapat pekerjaan.

Penasihat Yayasan Aminah, Datuk Seri Izwan Shah Arif Shah bercakap pada Program Ziarah Ramadhan Malaysia Gazette di PPR Desa Tun Razak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 27 APRIL 2020

Dalam pada itu, Izwan Shah berkata, pihaknya terpanggil untuk menyertai Program Ziarah Ramadan MalaysiaGazette kerana melihat kesungguhan ramai pihak yang membantu golongan yang tidak bernasib baik.

Jelasnya, memiliki peruntukan khas, Yayasan Aminah sentiasa menyokong apa jua insiatif untuk meringankan beban masyarakat, apatah lagi ketika waktu getir ini sejak pelaksanaan PKP.

Bagi Rizalman pula, beliau merakamkan penghargaan kepada Malaysia dan NGO setempat yang berusaha memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan terkesan sejak pelaksanaan PKP.

“Satu program yang terpuji kerana dapat membantu 50 keluarga. Saya juga ingin memuji semua individu dan NGO di negara yang berlumba-lumba memberi bantuan untuk mengambil sikap susah senang bersama.

“Pada masa sama, saya akui ada menerima aduan penduduk yang ada terputus bekalan dan mereka bukan kerana tidak mendapat bantuan. Namun kes-kes keciciran dan terpencil akibat masalah komunikasi yang perlu diperbaiki lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast