KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan digesa segera mengarahkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) supaya mempertimbang semula pendirian pengenaan kadar faedah terhadap moratorium pembayaran balik pinjaman bank yang telah menimbulkan kegusaran rakyat.

Dalam satu kenyataan bersama Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) berkata, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz juga perlu menuntut agar bank-bank tidak mengenakan sebarang kadar faedah selama moratorium berkuatkuasa.

Menurut kenyataan itu, walaupun menjejas kadar keuntungan bank dalam jangka masa pendek, namun Majlis Setiausaha PH yakin ia tidak akan menyebabkan sektor bank kerugian dalam jangka masa panjang.

“Penyelesaian bersifat ‘separuh jalan’ seperti pengenaan kadar faedah ketika moratorium pembayaran balik pinjaman dilaksana hanya mengukuhkan persepsi bahawa sektor perbankan tidak peduli nasib rakyat yang semakin tertekan.

“Majlis Setiausaha kesal di atas ketiadaan penyelarasan di antara ucapan Perdana Menteri pada 27 Mac dengan kenyataan BNM semalam yang amat mengelirukan dan menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” demikian kata kenyataan itu.

Menurut kenyatan itu lagi, pada ketika negara berhadapan penularan wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi mencabar seperti hari ini, sektor perbankan sepatutnya turut sama berkorban demi kepentingan negara dan rakyat.

“Pendirian BNM dan ABM bahawa bank-bank boleh mengenakan kadar faedah bagi pinjaman sewa beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang telah dikenakan moratorium memberikan gambaran sektor perbankan tidak mengendahkan nasib rakyat yang semakin terhimpit hari ini,” ujarnya.

Pada ketika ekonomi negara cukup terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berpanjangan dan semakin hari semakin banyak laporan berita mengenai hotel dan syarikat
yang ditutup serta pekerja yang dipotong gaji dan hilang kerja, seharusnya sektor perbankan lebih prihatin tentang nasib rakyat, demikian menurut kenyataan itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sepatutnya tugas BNM menasihat dan memberi pandangan kepada kerajaan berdasarkan akta-akta dan undang-undang yang sedia ada apabila kerajaan ingin melaksanakan sesuatu dasar.

Comments are closed.