Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini berikutan pasaran menerima berita mengenai prospek penurunan Petronas, selain aktiviti pengambilan untung menjelang hujung minggu.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Bursa Malaysia dijangka meneruskan momentum kukuh minggu depan, disokong oleh pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur berikutan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Penganalisis berkata, pasaran, setelah mengalami peningkatan semula yang kukuh selepas lebih 40 hari mencatatkan dagangan tidak menentu disebabkan sentimen perniagaan lemah, kini merekodkan prestasi lebih baik.

“Memandangkan indeks utama telah melepasi paras penanda aras, 1,400; kini paras rintangan seterusnya terletak pada 1,430 manakala sokongan pada 1,380,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP kini boleh beroperasi dengan kapasiti penuh, yang akan menggerakkan semula dua juta pekerjaan dalam pelbagai segmen.

Sejak PKP dikuatkuasakan, negara mengalami kerugian dari segi hasil ekonomi bernilai hampir RM100 bilion berikutan rakyat Malaysia diperintahkan supaya berada di rumah dalam usaha memerangi penularan pandemik COVID-19 daripada menjadi semakin teruk.

Beliau berkata, bagi pasaran meluas, indeks industri dan pengguna mencatatkan peningkatan memberangsangkan sepanjang minggu ini manakala indeks minyak pula bergerak naik secara kukuh seiring kenaikan harga minyak mentah.

“Bagaimanapun, ketidaktentuan harga minyak mentah dijangka kekal serta tidak diunjurkan terus susut sehingga US$10 setong memandangkan ekonomi di seluruh dunia mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan kerana kes jangkitan COVID-19 berkurangan,” katanya.

Malaysia mencatatkan kes dengan dua angka pada minggu lepas dan Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah kes harian akan terus susut kepada satu angka minggu depan.

Beliau berkata bagi pasaran global pula, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) juga berakhir dengan kadar faedah hampir sifar semasa dijangka kekal bagi satu tahun ini kerana pengangguran semakin menjejaskan pasaran ekoran COVID- 19.

AS kekal sebagai negara yang merekodkan jumlah kes COVID-19 tertinggi di dunia memandangkan ia mencatatkan satu pertiga daripada keseluruhan kes di peringkat global, mengatasi China dan Itali.

Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia bermula dengan mod berubah-ubah susulan harga minyak mentah merosot sehingga bawah US$20 setong sehingga menyebabkan bursa tempatan mengalami dagangan dalam jajaran kecil.

Bagaimanapun ia meningkat semula pada Rabu dengan merekodkan prestasi menggalakkan dan melonjak 27.48 mata untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh seminggu 1,407.78 pada Khamis.

Pasaran ditutup pada Jumaat susulan cuti umum sempena Hari Pekerja.

Berasaskan Jumaat ke Khamis, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 37.93 mata untuk ditutup pada 1,407.78.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menambah 253.94 mata kepada 9,808.58, Indeks FBMT 100 meningkat 244.54 mata kepada 9,677.21 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 296.41 mata kepada 11,660.23.

FBM 70 naik 227.73 mata kepada 11,660.23 dan Indeks FBM ACE melonjak 345.92 mata kepada 4,795.10.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 218.85 mata kepada 12,472.91, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.76 mata kepada 120.44 dan Indeks Perladangan meningkat 196.22 kepada 6,329.69.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 20.88 bilion unit bernilai RM10.54 bilion daripada 27.37 bilion unit bernilai RM14.07 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 13.19 bilion saham bernilai RM8.81 bilion daripada 19.60 bilion saham minggu lalu bernilai RM12.62 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 995.99 juta unit bernilai RM2.30 bilion daripada 1.90 bilion unit bernilai RM417.19 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 6.36 bilion saham bernilai RM1.49 bilion daripada 5.85 bilion saham bernilai RM1.04 bilion. – MalaysiaGazette