Anggota Polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menadah tangan bacaan doa berbuka puasa semasa bertugas pada sekatan jalan di sekitar Kampung Baru menjamah juada setelah masuk waktu berbuka puasa pada hari pertama bulan Ramadan yang memasuki hari ke- 38 Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di hadapan Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2020

RAMADAN yang tiba disaat pandemik Covid-19 masih belum selesai memerlukan kita untuk melihat Ramadhan dari perspektif yang betul agar makna atau roh Ramadhan terus berjaya dihidupkan meskipun berada dalam satu situasi yang
berbeza dengan sebelum ini. Semangat untuk meraikan Ramadan sebagai bulan yang pada awalnya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya dijauhkan dari api neraka, tidak boleh luntur lebih-lebih lagi dalam tempoh ujian seperti ini.
Ramadhan bulan yang padanya diturunkan al-Quran sentiasa digandingkan dengan aktiviti tadarrus, tilawah dan tadabbur al-Quran dan ibadat-ibadat sunat yang lain khususnya solat sunat Tarawih berjemaah di surau atau masjid.

Namun pada kali ini, keadaan telah bertukar wajah. Surau dan masjid yang mengadakan majlis berbuka puasa (iftar) secara berjemaah, tidak lagi dapat meneruskannya. Adakah tanpanya kita masih mampu mencapai keberkatan yang sama? Inilah mungkin yang sedang berlegar-legar di fikiran kita umat Islam.
Justeru, inilah masanya untuk kita melihat semula apakah makna dan tujuan Ramadhan yang sebenar. Hal ini penting kerana biarpun keadaan berbeza tetapi makna atau tujuan Ramadhan masih berjaya diterjemahkan. Duduk di rumah untuk tempoh yang panjang merupakan satu yang sangat mencabar kerana secara psikologi, manusia sebagai makhluk sosial perlu bersosial.
Dengan kemewahan masa yang ada, khususnya melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) inilah masa yang terbaik untuk seseorang menghidupkan Ramadan secara serius dengan penuh kesederhanaan kerana tidak lagi perlu memikirkan untuk
menghabiskan masa dalam kereta untuk ke tempat kerja, juga berada di tempat-tempat awam seperti tempat-tempat jualan.

Hakikatnya Ramadan kali ini merupakan ruang masa yang terbaik untuk kembali menghayati tujuan utama puasa difardhukan iaitu sebagaimana firman Allah dalam Surah al- Baqarah: 183 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” Keberhasilan utama yang diharapkan ialah agar kita menjadi individu yang bertakwa. Justeru adalah satu keperluan untuk menyempurnakan puasa
berorientasikan matlamat akhir iaitu untuk mencapai tahap ketakwaan dan bukannya untuk menyambut hari raya.

Ujian yang hadir pada seseorang merupakan ruang untuk mendidiknya menjadi seseorang yang lebih baik. Ramadan sebagai bulan latihan penyucian diri, khususnya dalam aspek spiritual perlulah disempurnakan dengan sebaik yang mungkin agar pada akhirnya, secara spiritual kita kembali kepada fitrah yang asal. Kejayaan inilah diraikan dalam Eid Fitri atau Hari Raya Aidul Fitri.

Menghidupkan Ramadan di rumah sebenarnya satu rahmat yang tersembunyi. Ibadat puasa secara istilahnya ialah menahan diri dari melakukan sesuatu yang memang lazim kita lakukan seperti makan dan minum, Agak menarik apabila Covid-19 juga mengajar kita perkara yang sama bila mana kita perlu untuk berkorban kebebasan yang lazim ada pada kita seperti bersosial. Ternyata kehadiran Ramadan pada kali ini merupakan bonus bagi kita sebagai umat Islam untuk lebih memaknakan Ramadhan.

Inilah masa terbaik untuk kita merapatkan diri dengan al-Quran, lantaran Ramadhan mempunyai pertalian yang sangat rapat dengan al-Quran sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Baqarah: 185, “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya
diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).

Usaha menghidupkan Ramadan pada kali ini boleh difokuskan melalui platform pemerkasaaan institusi keluarga melalui aktiviti solat Tarawih secara berjamaah, bertadarrus, berbuka dan bersahur bersama-sama. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai Ramadhan yang terindah dalam hidup kita, sesuai dengan kebiasaan baharu yang kita perlu hadapi. Kita juga tidak pasti adakah masih ada Ramadan untuk kita pada tahun hadapan?

Bagi mereka yang masih terikat dengan kerja dari rumah  jadikan kerja yang dilakukan sebagai yang paling terbaik sebagai medan meraih pahala di sisi Allah SWT. Saban tahun kita menyambut Ramadhan. Apakah pernah kita bertanya sejauh mana tarbiyah atau latihan yang telah kita lalui benar-benar memberi kesan kepada diri kita dan mampu menjadikan diri kita semakin akrab dengan Allah dan semakin baik hubungan kita dengan diri kita sendiri, orang lain, juga dengan alam yang kita diami ini?
Segalanya terserah kepada diri kita.

Sesungguhnya Ramadhan bersama pandemik COVID-19 ini merupakan medan yang paling terbaik untuk menguji kekuatan diri bagi menghadapinya dengan penuh bermakna agar pada akhirnya kita mampu mengubah sempadan iman dengan
menjadikan kita individu yang lebih bertaqwa dan lebih memahami tentang makna, tujuan dan nilai hidup yang sebenar.

Ratna Roshida Ab Razak, PhD
Associate Professor
Department of Government and Civilisation Studies
Faculty of Human Ecology
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor, MALAYSIA.