Gambar : Juliana (kanan) dan kawan Nur Fitri Izwani (kiri) di KLIA semasa menunggu pelepasan pesawat sewa khas yang membawa mereka ke Lapangan Terbang Bintulu pada hari ini

KUALA LUMPUR  – “Alhamdulillah, bersyukur dan sebak perasaan apabila dihubungi oleh urus setia maklumkan saya akan dihantar pulang ke pangkuan ahli keluarga.

”Doa ibu dan ayah untuk lihat saya dapat berpuasa dan berhari raya bersama mereka dimakbulkan Allah. Ini adalah hadiah Ramadan dan Syawal terindah dalam hidup saya,” reaksi reaksi Nurul Fitri Izwani Hajari, 21, yang akan pulang ke kampung halamannya di Kampus Baru Ismail, Igan Sarawak.

Pelajar tahun pertama jurusan Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini merupakan sebahagian dari 29 pelajar USIM yang menaiki pesawat sewa khas Ops Pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak pada hari ini.

Menurut Nurut Fitri Izwani, sepanjang terkandas di kolej kediaman USIM, ahli keluarga di kampung amat risaukan keadaannya dan akan menghubunginya setiap hari bertanya khabar dan memberi kata-kata semangat.

“Ibu-bapa juga minta sentiasa bersabar dengan ujian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana belum tahu bila ia akan tamat dan lebih hiba samada punyai peluang berbuka puasa dan meraikan Aidilfitri bersama-sama seperti sebelum ini.

“Perasaan saya apabila dapat balik semestinya sangat seronok kerana dapat berjumpa keluarga. Semasa kami dihubungi pada Selasa malam lalu akan dihantar pulang pada hari ini, saya tidak tidur hingga ke pagi sebab teruja untuk kemas pakaian dan barang yang akan di bawa pulang sebab hampir dua bulan ‘terkurung’ di kolej kediaman dan tidak melihat suasana luar” ujar anak keempat dari lima orang adik-beradik ini dari suku kaum Melanau ini.

Perasaan teruja dapat pulang turut sama dikongsi rakan sepengajian beliau iaitu Juliana Yusup,21, yang akan pulang ke Kampung Nangar Besar, Daro Sarawak.

Anak sulung dari tujuh orang adik beradik ini berkata ibu-bapanya sentiasa berdoa agar segala urusan sepanjang menjalani PKP di USIM sentiasa dipermudahkan dan penularan Covid-19 segera berkurang kerana masih menyimpan harapan untuk meraikan 1 Syawal bersama-sama.

“Sebelum dapat berjumpa ahli keluarga, sebaik tiba di Bintulu nanti kami semua akan menjalani prosedur kuarantin 14 hari seperti yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak di lokasi yang telah disediakan.

”Selepas itu barulah kami akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang terdekat dengan kampung halaman untuk dijemput waris.

“Saya akan dihantar dari Bintulu ke IPD Mukah melalui jalan darat dan selepas itu akan teruskan perjalanan dari Mukah ke Daro melalui jalan air (sungai) dengan menaiki bot ekspres sebelum sampai ke kampung halaman.

”Saya mewakili rakan-rakan lain mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya Kementerian Pengajian Tinggi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM dan Majlis Perwakilan Pelajar yang bertungkus lumus menguruskan penghantaran pulang kami,” ujarnya.

Tambah Juliana yang kali terakhir pulang ke kampungnya pada awal tahun ini, universiti telah memutuskan baki pengajian Semester II Sesi Akademik 2019/2020 USIM akan disambung semula sesi pengkuliahan pada 1 Jun nanti secara maya (online learning) sahaja sehingga akhir semester pada 9 Ogos. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast