Anggota ATM membuat kawalan keselamatan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan Covid-19 ketika tinjauan Malaysia Gazette di Selayang Baru, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 APRIL 2020

KUALA LUMPUR- Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Selayang Baru, Gombak yang sepatutnya tamat pada hari ini dilanjutkan ke satu tempoh yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi membolehkan petugas-petugas Kementerian Kesihatan membuat proses saringan kesihatan sepenuhnya kepada penduduk kawasan terbabit.

“Setelah proses saringan selesai, kerajaan akan menamatkan PKPD di kawasan terbabit.

“Mungkin dua atau tiga hari lagi, kita akan umumkan tarikhnya,” katanya semasa sidang media hari ini.

Artikel berkaitan: Kawasan Selayang Baru pula dikenakan PKPD

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara tamat hari ini.

KKM katanya telah pun selesai melakukan saringan Covid-19 ke atas semua yang terlibat.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan setakat hari ini seramai 352 daripada 32,263 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan dikuarantin wajib sejak 3 April lalu disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, tiada risiko jangkitan kepada orang ramai kerana semua pesakit telah diberikan rawatan lanjut di hospital.

Setakat hari ini, seramai 24,413 individu yang menjalani tempoh kuarantin wajib telah dibenarkan pulang.- MalaysiaGazette