Datin Jariah Jantan (kanan), Ketua Biro Sukan Pelitawanis menyampaikan sumbangan kepada penduduk dalam golongan B40 di Kampung Malaysia Sungai Besi. .

KUALA LUMPUR – Warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbang lebih RM1 juta kepada Tabung Kilat Covid-19 Pelitawanis yang dikelola Persatuan Wanita TNB (Pelitawanis) bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan akibat daripada penularan wabak itu.

Sumbangan tersebut turut diterima daripada Ahli Lembaga Pengarah TNB dan juga pesara LLN/TNB.

Lebih 80 peratus dana yang dikumpulkan adalah untuk membantu golongan B40 dan rumah anak-anak yatim, manakala selebihnya untuk petugas barisan hadapan, pusat penjagaan warga emas dan pelajar-pelajar yang terkandas di pusat pengajian tinggi, kata Yang Dipertua Pelitawanis TNB, Datin Seri Aidah Abu.

“Wang yang dikumpulkan kami agihkan dalam bentuk barangan keperluan asas harian dan wang tunai kepada mereka yang layak. Sebahagian sumbangan turut digunakan untuk peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas perubatan yang dijahit sendiri ahli-ahli kami.

”Kepada golongan yang hilang punca pendapatan akibat wabak Covid 19, usaha sebegini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka, terutama yang menyambut Aidilfitri,” jelas Aidah.

Katanya, tabung tersebut adalah satu inisiatif tambahan kepada usaha TNB berkaitan penularan Covid-19 selepas mengambil kira ramai warga kerja TNB yang berminat untuk bersama-sama rakyat Malaysia lain menyumbang wang ringgit bagi tujuan itu.

Beliau turut memaklumkan pengurusan tertinggi TNB turut menyumbang 50 peratus daripada gaji bulan April kepada tabung tersebut yang dilancarkan pada 22 Mac lalu. – MalaysiaGazette