Nasrul Ali Hassan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia diminta tidak gopoh untuk membuka pintu sempadan bagi menerima pelancong mahupun peniaga asing, sebaliknya memastikan negara ini bebas sepenuhnya daripada wabak pandemik Covid-19.

Ketua Wira Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan adalah penting bagi negara ini dalam memutuskan rantai koronavirus.

Menurutnya, banyak lagi kaedah lain boleh difikirkan untuk memperkukuh ekonomi domestik berbanding memberi risiko kepada negara dengan ancaman wabak Covid-19 walapun pelancong perniagaan terbabit sudah melepasi syarat tapisan keselamatan

”Wira PUTRA memahami keperluan dan kepentingan ekonomi sesetengah perniagaan yang melibatkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan.

”Jangan mengambil risiko yang akhirnya memudaratkan keselamatan rakyat serta berbagai ancaman termasuk ekonomi negara dan perbelanjaan negara yang banyak bagi memulihkan keadaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau mengulas permintaan Presiden Persatuan Jalur dan Laluan Malaysia Datuk Seri Chuah Poh Khiang supaya kerajaan membenarkan pelancong perniagaan yang memenuhi syarat keselamatan untuk melancong ke negara ini.

Katanya, langkah ini penting untuk menjana semula perdagangan dan pelaburan luar negara dalam persekitaran ekonomi domestik yang lembap.- MalaysiaGazette