Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mensabitkan kesalahan ke atas Afkariah Md Norani atas empat pertuduhan di bawah seksyen 179 (b) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 kerana menipu empat individu dan menjatuhinya hukuman penjara selama enam bulan dan denda sejumlah RM4 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail memerintahkan hukuman penjara bagi empat pertuduhan tersebut berjalan secara serentak.

Afkariah juga akan menjalani hukuman penjara selama empat bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berjumlah RM4 juta.

Afkariah, 49, yang dikenakan pertuduhan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 13 Februari 2020 mengaku bersalah menipu empat individu dengan jumlah sebanyak RM50,000.

SC berkata, mangsa diperdaya untuk melabur dalam skim pelaburan yang kononnya dijamin oleh RHB Investment Bank Bhd (RHBIBB) dan menjanjikan pembayaran dividen bulanan sebanyak 2% hingga 3%.

Skim pelaburan itu tidak pernah wujud dan wang yang dibayar oleh pelabur tersebut sebenarnya dimasukkan ke dalam akaun dagangan saham Afkariah di RHBIBB dan digunakan untuk transaksi saham peribadinya.

SC mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi yang luar biasa.

Sekiranya skim tersebut mendakwa bahawa ia adalah berkaitan dengan pengantara berlesen, pelabur disarankan agar mengesahkan kesahihan skim tersebut dengan pengantara berlesen berkenaan atau dengan SC. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast