KUALA LUMPUR – Datuk Seri Gopal Sri Ram masih mengunci mulut daripada membuat sebarang kenyataan berhubung pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap beliau.

Apandi dalam satu hantaran Facebook pada Khamis lalu mendakwa Sri Ram cuba memujuknya untuk menangkap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada awal Januari 2018, empat bulan sebelum kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dakwa Apandi, Sri Ram juga mendakwa dihantar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengarahkan Najib ditangkap dan segala persiapan di pihak polis dan mahkamah telah diatur.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas peguam negara dedah dikunjungi Gopal Sri Ram suruh tangkap Najib

Sejak pendedahan oleh Apandi sehingga saat artikel ini ditulis, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu belum memberi sebarang respons.

Malah ketika di temui oleh sekumpulan pemberita di Mahkamah Tinggi di sini, Sri Ram masih terus berdiam diri.

Beliau tidak menafikan mahupun mengiyakan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh Apandi.

Semalam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Membela Rakyat (Membara) membuat laporan polis terhadap Sri Ram dengan tuduhan terlibat dengan rancangan menjatuhkan Najib, selain mereka tuduhan palsu terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Hari ini pula, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan affidavit sokongan oleh Apandi telah mengemukakan permohonan menggugurkan Sri Ram dari terus mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes pindaan laporan akhir pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Ogos hadapan untuk mendengar permohonan menggugurkan Sri Ram dari kes ini manakala pendakwaan pula meminta tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu bagi penjawab permohonan ini. –MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.