PUTRAJAYA – UMNO dilihat sebagai sebuah parti politik yang semakin terbuka apabila sedia menerima mana-mana rakan sekutu dalam Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).
Walaupun beliau berbesar hati dengan tawaran itu, namun Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan-rakan politiknya menghormati persefahaman yang dicapai sebelum ini dengan Bersatu.
“Itu kenyataan yang menunjukkan kelapangan hati parti beliau.
“Saya secara peribadi, kami terikat dengan persefahaman Bersatu khususnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya hanya boleh kata thank you kepada Datuk Zahid dan pada saya itu melambangkan keterbukaan parti beliau.
“Tapi lebih daripada itu saya tak boleh nak komen. Perkara itu bos saya perlu respon lebih dalam mengenainya,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Kad Laporan 100 Hari Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid awal hari ini yang mengalu-alukan mana-mana rakan sekutunya dalam PN untuk menyertai MN.
Menurut Ahmad Zahid, pelawaan itu tidak terhad kepada Bersatu sahaja, bahkan bekas pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga boleh bersama gagasan itu.
Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak menolak kemungkinan cadangan Bersatu untuk menyertai MN akan dibincangkan dalam mesyuarat bersama jawatankuasa pemandu, esok.
Mesyuarat gagasan itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. – MalaysiaGazette