Melalui penganjuran aktiviti sukan permotoran, jika kelonggaran diberikan untuk aktiviti sukan litar lumba kembali sudah pasti akan mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak yang terlibat.-Gambar hiasan.

WARGA sukan Malaysia sudah pasti menarik nafas lega dengan pengumuman yang dibuat oleh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan(KBS) baru-baru ini dalam memberi kelonggaran untuk aktiviti sukan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara(MKN).

Dengan pengumuman yang dibuat ia sedikit sebanyak telah membuka peluang dan ruang kepada para ahli sukan malah kepada industri sampingan yang berkaitan dengan sukan terutama dari sudut ekonomi.

Acara sukan tidak akan dapat diadakan tanpa kehadiran penaja dan penganjur. Mereka juga memerlukan bantuan petugas sampingan di lapangan dan petugas untuk pasukan.

Tanpa sukan, tiada siaran di televisyen malah liputan media. Kesemua industri sampingan ini akan dapat kembali bertenaga dengan kembalinya aktiviti sukan dan memacu ekonomi setempat dan negara.

Melalui penganjuran aktiviti sukan permotoran, jika kelonggaran diberikan untuk aktiviti sukan litar lumba kembali sudah pasti akan mendapat sambutan baik dari pelbagai pihak yang terlibat.

Dengan merujuk kepada dua kejuaraan perlumbaan litar yang utama, Kejuaraan FIA Formula Satu dan juga Kejuaraan Motorsikal Dunia MotoGp telah pun diumumkan untuk permulaan musim 2020 ini.Unutk mengekang penularan wabak Covid19 kedua-dua kejuaraan ini akan diadakan di litar lumba tanpa melibatkan kehadiran penonton.

Malah saingan liga bolasepak Jerman iaitu Bundesliga telah pun berlangsung dengan tanpa kehadiran penyokong-penyokong di stadium. Oleh itu ia mungkin boleh dijadikan sebagai contoh atau rujukan untuk pihak KBS dalam merangka SOP yang boleh dibentangkan kepada MKN dan KKM serta dalam masa yang sama ia dapat mengekang penularan wabak Covid19 walaupun acara sukan diadakan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua yang terlibat.

Bagi penganjuran aktiviti sukan perlumbaan pula penjarakkan fizikal dalam perlumbaan di litar adalah sesuatu yang sudah sememangnya wujud sejak sekian lama lagi.

Sebagai contoh dalam Kejuaraan Perlumbaan Cubprix Malaysia, pelumba memakai sut perlumbaan miliknya sendiri dan jentera juga di kendalikan oleh kru pasukan sendiri malah pegawai dan petugas litar juga berada dalam keadaan penjarakan antara satu sama lain.

Cuma apa yang perlu diperhalusi ialah SOP yang diperketatkan lagi dengan mengurangkan jumlah petugas pasukan di kawasan pit atau garaj, prosedur permulaan perlumbaan yang biasanya melibatkan ramai petugas dan jemputan di litar perlu dikurangkan dan peraturan podium untuk pemenang juga perlu diubah supaya sesuai dengan norma baharu.

Pihak penganjur juga perlu mewajibkan semua pasukan dan petugas untuk menggunakan aplikasi MyTrace dan MySejahtera dan ia akan dapat membantu untuk memastikan semua yang terlibat sepanjang minggu perlumbaan akan dapat dihubungi jika keadaan memerlukan untuk berbuat demikian.

Kini masyarakat Malaysia sudah semakin matang dengan norma baharu. Hasil usaha kerajaan terutama oleh KKM serta kempen yang dijalankan oleh pihak bertanggung jawab, jumlah pesakit baru Covid-19 juga sudah jauh berkurangan.

Ini membuktikan masyarakat Malaysia peka dengan penjagaan diri masing-masing dalam memastikan pandemik Covid-19 ini dapat diputuskan rantaian jangkitan. Oleh itu aktiviti sukan sudah boleh untuk dijalankan dan susah pasti kita akan tetap menjaga kita dan sesuai dengan aspirasi dalam setiap sukan….kita mesti menang!.

Dr. Harmi Taazim Bin Mohamad adalah pengulas sukan berpengalaman selama 22 tahun sejak tahun 1998.