KUALA LUMPUR- Sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, penggunaan elektrik telah meningkat di antara 20 peratus hingga 50 peratus.

Kebanyakan pengguna mungkin tidak menyedari terdapat perbezaan penggunaan elektrik sepanjang tempoh duduk di rumah berbanding hari biasa menyebabkan mereka merungut apabila bil Tenaga Nasional Bhd. (TNB) tiba di tangan.

Isu tersebut bukan perkara asing kerana ianya turut dialami di seluruh dunia yang mana kebanyakan negara melaksanakan perintah duduk di rumah bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Selain Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan yang bermanfaat kepada 7.66 juta pengguna seperti yang diumumkan kerajaan semalam, pengguna juga tidak perlu risau kerana TNB telah berjanji tidak akan membuat pemotongan bekalan elektrik sehingga 30 September ini.

Selain itu, tiada caj lewat bayar dikenakan sehingga 30 September ini.

Pengguna juga ditawarkan pilihan untuk menyelesaikan bayaran bil elektrik tertunggak secara ansuran mengikutkan amaun yang telah ditetapkan tanpa sebarang caj tambahan sehingga 31 Disember ini.

Semalam kerajaan mengumumkan Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan bernilai RM942 juta dan dinikmati oleh kira-kira 7.66 juta pengguna.

Ini bakal menyaksikan kira-kira empat juta pengguna domestik yang mana bil tenaga mereka berjumlah RM77 ke bawah menikmati elektrik percuma bagi bulan April, Mei dan Jun.

Bagi Pengguna domestik yang menggunakan elektrik melebihi 300kWj pula akan menerima potongan bil elektrik sebanyak RM231 iaitu RM77 sebulan untuk April, Mei dan Jun ini.

Ini merupakan tambahan kepada diskaun elektrik di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sedia ada dan akan dimasukkan secara sekali gus dalam bil bulan Julai 2020.

Sekiranya pengguna telah membuat bayaran pada bulan April, Mei dan Jun lebihan bayaran ketiga-ketiga bulan tersebut akan dikreditkan ke dalam bil Julai 2020.

Untuk penggunaan elektrik di antara 601-900kWj sebulan, diskaun tambahan lapan peratus akan diberikan bermula April hingga September 2020.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi TNB Careline di 1-300-88-5454 atau emel ke [email protected] atau layari aplikasi atau portal myTNB di www.mytnb.com.my atau kunjungi Kedai Tenaga berhampiran.- MalaysiaGazette