ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mencatatkan prestasi bercampur-campur pada awal dagangan hari ini, susulan kenaikan semalaman di Wall Street.

Pada 9.15 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.61 mata kepada 1,503.43 daripada 1,507.04 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 0.34 mata lebih tinggi pada 1,507.238.

Bagaimanapun, keseluruhan pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 272 berbanding 147 manakala 305 kaunter tidak berubah, 207 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 661 juta saham bernilai RM173.7 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd berkata, Indeks Purata Perindustrian Dow Jones melonjak 131.1 mata kepada 26,156.1 manakala indeks diterajui teknologi, Nasdaq Komposit meningkat 0.74 peratus untuk ditutup tinggi pada 10,131.4 serta Indeks S&P 500 menambah 0.43 peratus kepada 3,131.3 mata.

“Wall Street meningkat semula didorong oleh pemulihan ekonomi dan potensi rangsangan ekonomi tambahan. Bagi ekuiti serantau, kami berpandangan indeks-indeks terus mengalami prestasi tidak banyak berubah hari ini setelah ditutup kukuh semalam,” menurutnya menerusi nota penyelidikan hari ini.

Bagi peringkat tempatan, Rakuten Trade menjangkakan FBM KLCI menguji paras 1,515 setelah meningkat semula daripada paras di bawah 1,500 semalam dengan dipacu oleh aktiviti pembelian di saat-saat akhir.

Antara saham berwajaran tinggi Bursa Malaysia yang menyeret turun FBM KLCI ialah Petronas Dagangan yang turun 88 sen kepada RM21.80, TNB kurang lapan sen kepada RM11.80 sementara Maybank dan Maxis masing-masing susut empat sen kepada RM7.61 dan RM5.36.

Kalangan saham paling aktif, Trive Property tidak berubah pada satu sen, MQ Technology turun satu sen kepada 5.5 sen dan Tadmax menambah tiga sen kepada 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 13.04 mata kepada 10,578.53, Indeks FBMT 100 susut 16.23 mata kepada 10,425.60 namun FBM 70 menokok 15.01 mata kepada 12,937.39.

Indeks FBM Emas Syariah turun 9.25 mata pada 12,015.74, dan FBM ACE kurang 14.09 mata kepada 6,268.55.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.33 mata kepada 136.42, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 23.24 mata kepada 12,849.28 manakala Indeks Perladangan menambah 27.20 mata kepada 6,761.74. – MalaysiaGazette