Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Tiga stesen Mass Rapid Tren (MRT) akan ditutup selama dua hari, pada 27 dan 28 Jun ini, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan atau kerja migrasi.

Stesen yang terlibat adalah Stesen Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Kajang) membabaitkan Stesen MRT Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara.

Menurut kenyataan Rapid KL, penutupan itu adalah untuk melaksanakan kerja-kerja pemindahan sebahagian laluan ke Laluan Putrajaya yang baharu. Laluan baharu ini sebelum ini dikenali sebagai MRT laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

Dengan penutupan tiga stesen berkenaan, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral, ujarnya.

“Sama seperti penutupan sebelum ini yang dijalankan pada tahun 2018 dan 2019, perkhidmatan gentian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh selain kemudahan disediakan di Stesen MRT Kampung Selamat.

“Bas perantara berkenaan tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen,” katanya sambil menambah tempat letak kereta pula di Stesen MRT Kwasa Damansara juga akan ditutup.

Tiga Stesen MRT ditutup dua hari pada hujung minggu ini untuk kerja migrasi atau pemindahan laluan MRT.

Menurut kenyatan itu, para pengguna yang biasa meletakkan kereta di kemudahan tempat letak kereta di stesen berkenaan dinasihatkan meletakkan kenderaan mereka sama ada di Stesen MRT Kwasa Sentral atau Stesen MRT Sungai Buloh.

Perkhidmatan bas perantara dari Stesen MRT Sungai Buloh dan Stesen MRT Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa, ktanya.

Ketua Pegawai Operasi Rapid Rail Sdn.Bhd MRT Laluan Kajang, Azmi Mohd Zain berkata, kakitangan disediakan untuk membantu para pengguna di laluan tersebut yang mana kain rentang dan sepanduk telah dipasang selain pengumuman telah dilakukan untuk memberitahu para pengguna berkenaan penutupan tersebut dan perkhidmatan bas perantara percuma.

“Perkhidmatan bas perantara percuma semasa penutupan sebelum ini beroperasi dengan lancar. Kami berharap perkara ini dapat diulang semasa penutupan seterusnya,” katanya.

Perkhidmatan bas perantara percuma akan beroperasi berpandukan frekuensi tren pada hari minggu iaitu di antara 7 minit dan 15 minit.

Sementara itu, Pengarah Projek Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Amiruddin Ma’aris berkata, terdapat banyak kerja‐kerja perancangan dan persediaan yang telah dijalankan sebelum penutupan ini untuk memastikan semua kerja‐kerja dapat disiapkan mengikut dijadualkan dan membolehkan perkhidmatan tren bermula tepat pada masanya pada pagi Isnin.

Menurut beliau, penutupan kali ini adalah untuk kerja‐kerja tren elektrik dan penguasaan kuasa MRT Laluan Putrajaya dan juga pengujian pelbagai sistem komunikasi yang penting untuk pengoperasian laluan baharu ini.

“Kami memohon maaf di atas kesulitan para pengguna tren dan berharap mereka dapat memahami bahawa kerja‐kerja yang dilakukan adalah untuk menambahbaik dan mengembangkan jaringan pengangkutan awam berasaskan tren di Lembah Klang,” katanya.

Amiruddin memberitahu, nama kedua‐dua Laluan MRT secara rasminya akan dikenali sebagai MRT Laluan Kajang bagi menggantikan MRT Laluan Sungai Buloh‐Kajang, dan MRT Laluan Putrajaya untuk menggantikan nama MRT Laluan Sungai Buloh‐Serdang‐Putrajaya.

“Perubahan nama ini adalah untuk menyelaraskan kedua‐dua laluan ini dengan nama laluan-laluan tren sedia ada di Lembah Klang, di mana hanya satu berbanding pelbagai nama yang digunakan sebagai contoh, LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang,” ujarnya.

Amiruddin menambah, satu lagi faktor perubahan nama stesen MRT berkenaan adalah kerana dengan perubahan tiga buah stesen tersebut, Stesen MRT Sungai Buloh bukan lagi sebahagian daripada MRT Laluan Kajang, menjadikan nama yang digunakan sebelum ini tidak lagi relevan.

Beliau berkata, penghujung utara untuk kedua‐dua MRT Laluan Kajang dan MRT Laluan Putrajaya Line adalah Stesen MRT Kwasa Damansara di mana para pengguna boleh bertukar dari satu laluan ke laluan yang lain dengan hanya berjalan kaki melintasi platform bertingkat.

Fasa Satu laluan di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dijangka beroperasi pada pertengahan 2021, sementara keseluruhan laluan dijangka dibuka untuk Fasa Kedua pengoperasian bulan Januari 2023. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast