Wong Siew Hai

KUALA LUMPUR – Selaras dengan usaha menyokong industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) mengumumkan satu lagi inisiatif khusus bagi membantu pemain industri elektrikal dan elektronik (E&E) terutamanya yang terkesan dengan penularan wabak Covid -19.

Untuk inisiatif kali ini, MPC dan Nexus Produktiviti Elektrikal & Elektronik (EEPN) bekerjasama dalam membantu mempercepat jangka masa pemulihan pemain industri E&E di Malaysia, sekali gus memastikan kemampanan syarikat untuk meneruskan perniagaan dalam jangka masa panjang.

Champion Nexus Produktiviti Elektrikal & Elektronik (EEPN), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, eliau terpanggil untuk membantu syarikat terkesan dengan memberi bantuan dan mengeluarkan pelbagai idea yang relevan bagi menaikkan semula semangat dan moral para usahawan berikutan persekitaran yang mencabar bagi industri E&E.

Ketika kerajaan Malaysia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) selama hampir tiga bulan, banyak syarikat dari sektor E&E mengalami kesulitan untuk bertahan dan seterusnya gagal meneruskan perniagaan mereka.

Walaupun industri E&E merupakan salah satu industri paling awal yang dibenarkan untuk beroperasi semasa dalam fasa PKP, namun masih banyak syarikat yang terjejas dan gagal untuk bangkit bagi meneruskan perniagaan.

”Dalam jangka masa yang singkat, wabak Covid-19 telah menjejaskan banyak nyawa dan juga perniagaan. Oleh itu, kami telah merangka beberapa strategi bagi membantu pemain industri E&E di Malaysia dan salah satunya melalui webinar, diikuti dengan Virtual Advisory Clinic, Business Coaching serta cara mendapatkan akses pasaran melalui seminar perdagangan dengan mempromosikan syarikat E&E Malaysia ke seluruh dunia,” kata Siew Hai.

Beliau berkata, inisiatif ini bermula dengan tiga siri webinar yang memfokuskan tentang pemulihan perniagaan. “Siri pertama adalah ‘Rethink, Reinvent and Revitalise in the New Normal’ bagi mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh syarikat yang terjejas dan strategi untuk mengatasinya.

Siri kedua ialah ‘Making the Climb towards Recovery’, yang mana ia membantu PKS memahami bagaimana langkah untuk mengukuhkan rancangan pemulihan perniagaan mereka.

Untuk mengakhiri keseluruhan siri ini, program webinar ketiga akan memfokuskan kepada cara – ‘Growing Business Against the Tides of Disruption’ di mana ia memberi tumpuan khusus kepada PKS untuk merebut peluang di pasaran,” katanya.

Beliau berkata, untuk sesi pertama yang dijalankan, program Business Recovery Webinars telah mendapat sambutan baik dengan kehadiran banyak syarikat-syarikat di E&E dan sektor yang berkaitan.

Daripada 1,129 yang hadir, 10% adalah dari syarikat pertengahan hingga syarikat besar, sementara selebihnya adalah PKS.

Maklum balas yang diperoleh telah disampaikan oleh EEPN kepada pihak berwajib. EEPN Virtual Advisory Clinics (EEVAC) yang menghubungkan syarikat dengan badan penasihat sedang giat dijalankan dalam membantu syarikat menjalankan analisis dan diagnostik pada syarikat masing-masing untuk tindakan pemulihan yang sesuai.

Menerusi inisiatif ini, MPC dan EEPN positif dan yakin dapat membantu memperkasakan banyak pemain industri perniagaan E&E. – MalaysiaGazette