Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta Perdana Menteri campur tangan berhubung nasib ribuan penjawat awam yang ditamatkan perkhidmatan ketika pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Adnan Mat berkata, memandangkan Kerajaan Persekutuan kini sudah bertukar tangan kepada Perikatan Nasional (PN), sudah tiba masanya keputusan kerajaan lalu disemak semula termasuk mengembalikan semula jawatan mereka.

“CUEPACS pada dasarnya kita sudah bincang dalam mesyuarat sekretariat pegawai dan kami menyokong penuh usaha-usaha untuk mengembalikan pekerjaan mereka terdahulu.

“Mereka ini pernah berkhidmat dalam Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Seranta Felda.

“Pegawai-pegawai mereka ini yang dulu pernah ada agensi tersebut, tiba-tiba tiada, kemudian mereka ditamatkan perkhidmatan begitu saja,” katanya pada sidang media di Wisma CUEPACS, hari ini.

Beliau mengulas rayuan 653 bekas kakitangan JASA iaitu agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang ditamatkan perkhidmatan semasa pentadbiran kerajaan PH, memohon diserap semula dalam perjawatan.

Menurut jurucakap Barisan Jawatankuasa Bertindak Solidariti ExJasa, Zainal Fitri Mohamed, cadangan tersebut ditimbulkan berikutan agensi khas itu telah diaktifkan kembali.

Sebelum ini, pemberhentian tersebut melibatkan kira-kira 1,200 pegawai dan anggota JASA di seluruh Malaysia termasuk kakitangan yang telah berkhidmat lebih 15 tahun dan perjawatan tetap.

Bagaimanapun, selepas 22 bulan, hanya 653 kakitangan yang dapat dikesan dan kesemua nama tersebut telah dicadangkan kepada kementerian untuk disemak serta diambil bekerja.

Dalam pada itu, Adnan juga telah memaklumkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali agar cadangan untuk mengembalikan perjawatan kesemua bekas kakitangan tiga agensi terbabit.

“Kami juga merayu kepada kerajaan supaya mereka ini dikembalikan jawatan mereka sebagaimana yang terdahulu

“Inilah peluang yang mereka ada dan kami anggap ini kerajaan prihatin rakyat agar melihat kembali kesan daripada terumbang-ambingnya kakitangan daripada JASA, PLKN dan Seranta Felda,” katanya.

Sementara itu, Adnan juga menggesa Perdana Menteri melihat kembali beberapa keputusan dibuat oleh kerajaan terdahulu yang membabitkan kebajikan penjawat awam.

“Antaranya kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai 2018 belum terlaksana, yang diumumkan pada 4 April 2018.

“Kerajaan pada 4 April 2018 turut mengumumkan pemendekan tempoh kenaikan pangkat ‘time-based’ kali kedua dari 13 tahun kepada 10 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2018 yang juga belum dilaksanakan.

“Selain itu, kerajaan bersetuju bawah pembentangan Belanjawan 2020 bagi penebusan awal Gantian Cuti Rehat (DCR) sebanyak 75 hari membabitkan ganjaran wang tunai untuk penjawat awam sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

“Perkara terbabit sudah diumumkan oleh kerajaan (lalu), justeru ia perlu dilaksanakan segera,” katanya lagi. – MalaysiaGazette