KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pimpinan (JKP) Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) tidak akan membuat keputusan bersendirian berhubung cadangan mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Sebaliknya, menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd. Samad, perkara itu akan dibincang dan diputuskan secara bersama dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH).
Artikel berkaitan: Shafie calon PM, Anwar TPM1, Mukhriz TPM2
“Dalam mesyuarat JKP Nasional petang ini, ada membincangkan pencalonan Shafie sebagai Perdana Menteri seperti dicadangkan dalam satu pertemuan tidak formal pemimpin dari Amanah, DAP, Warisan dan Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.
“Kita bersetuju merujuk perbincangan berkaitan perkara ini kepada MPPH dalam waktu terdekat untuk mendapat keputusan bersama.
“Mesyuarat ini mengambil maklum bahawa cadangan itu adalah untuk mencari penyelesaian kepada usaha mencukupkan sokongan Ahli Parlimen bagi PH membentuk semula kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Artikel berkaitan: Shafie calon PM-9: DAP, Amanah mahu bincang terlebih dahulu
Beliau berkata, setelah mengambil pandangan dari semua ahli mesyuarat, JKP Nasional Amanah menganggap perlu diputuskan bersama dalam MPPH demi menjamin kesepakatan dan kebersamaan dalam menangani persoalan itu.
Jelas Khalid, mesyuarat itu menegaskan persoalan untuk mengambil semula kerajaan adalah sesuatu yang perlu diutamakan. – MalaysiaGazette