Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Plis menahan seorang individu yang membaling gelas ke arah penguatkuasa Dewan Bandaraya Kula Lumpur (DBKL) kerana tidak berpuas hati keretanya disaman.

Malah individu berusia 37 tahun yang mengalami masalah mental itu turut memaki dan memberi amaran kepada anggota DBKL itu bagi menghalang mereka menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin@Hilmi berkata, pihaknya menerima satu laporan mengenai kejadian anggota penguatkuasa DBKL diganggu seorang lelaki di Jalan Rakyat, Brickfields.

Katanya, kejadian berlaku pada pukul 5.50 petang 4 Julai lalu semasa pengadu iaitu seorang anggota penguatkuasa DBKL menjalankan tugas kawalan lalu lintas di Jalan Rakyat.

“Tiba-tiba seorang lelaki India menjerit dan membaling satu gelas tidak berisi air ke arah anggota penguatkuasa yang sedang bertugas namun dapat dielak.

“Hasil keterangan pengadu (penguatkuasa DBKL) mendapati lelaki itu bertindak sedemikian kerana marah kepada penguatkuasa DBKL yang telah menyaman keretanya yang diparkir ditepi jalan.

“Lelaki tersebut terus mendekati penguatkuasa dan marah kemudian beredar mengalihkan keretanya sambil berkata “jaga-jaga” ke arah anggota itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zairulnizam, rentetan kejadian itu salah seorang petugas DBKL telah menghubungi pihak polis dan selang beberapa minit kemudian anggota Polis dari Balai Polis Brickfields tiba ke lokasi kejadian sebelum menahan lelaki India itu untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil semakan dan siasatan awal polis ke atas suspek mendapati lelaki tersebut mempunyai masalah mental.

“Lelaki berkenaan mempunyai rekod rawatan mental di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Hospital Kuala Lumpur

“Individu berusia 37 tahun itu kemudian telah diserahkan kepada ahli keluarganya.

“Kertas enkuari polis (KEP) telah dibuka bagi siasatan lanjut dan menunggu pengesahan tahap kesihatan lelaki India berkenaan daripada pihak HKL,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.