Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) ketika melawat projek River of Life di sekitar Jalan Bunus, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR- Kerja-kerja Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) yang dijangka siap pada tahun depan akan dilanjutkan hingga tahun 2024, kata Tan Sri Annuar Musa.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, secara projek tersebut siap 80 peratus namun terdapat beberapa fasa yang melibatkan kerja-kerja akhir yang memakan masa lama.

Jelas beliau, ini kerana RoL melibatkan kerja-kerja lanskap, pemulihan dan penambahbaikan sungai.

“Ada yang disiap elok dan berjaya, ada kualiti air dalam sungai dan itu tidak tercapai sepenuhnya yang kena lanjutan masa dan kaedah perlu buat.

“Ia tidak ada titik noktah bila kita buat projek kerana ia banyak jenis. Tahun 2021 kita rancang siap dan bila libat fizikal projek akan ada lanjutan masa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Turun Padang di kawasan RoL Fasa 2 di Jalan Bunus dan Jalan Masjid India di sini hari ini.

Pembangunan projek RoL adalah salah satu daripada pelaksanaan sembilan Projek Permulaan Greater Kuala Lumpur di mana pelaksanaannya membabitkan tiga komponen utama iaitu pembersihan sungai, pengindahan dan pembangunan tanah yang dijalankan secara berperingkat.

Menelan belanja RM4.4 bilion, ia bertujuan menghidupkan semula bahagian Sungai Klang dan Sungai Gombak di bandar dan mengubahnya menjadi kawasan tepian sungai yang berkembang maju dengan nilai ekonomi dan komersial.

Projek yang dilancarkan pada 2011 itu juga bertujuan mengubah kualiti air kededua sungai utama di Lembah Klang itu daripada tahap tidak selamat kepada tahap selamat bagi kegunaan rekreasi. – MalaysiaGazette