MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

KUALA LUMPUR – Pejabat Presiden MCA telah mengarahkan bahagian-bahagian parti menghantar nama calon untuk pilihan raya umum sebelum 7 Julai (semalam) sebagai persediaan menghadapi ‘temasya politik’ yang mungkin mengambil tempat dalam tempoh tiga bulan.

Oriental Daily melaporkan, pilihan raya umum kilat paling berkemungkinan diadakan pada September atau Oktober.

“Menurut satu surat daripada pejabat Presiden MCA, semua bahagian parti harus menghantar nama calon sebelum 7 Julai. Lebih daripada satu nama boleh dihantar untuk rujukan parti,” demikian lapor akhbar itu.

MCA mengalami kekalahan paling teruk pada 2018 dengan sekadar berjaya mempertahankan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 39 kerusi Parlimen dan 90 kerusi DUN yang ditandinginya.

Kejayaan MCA merampas Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil bagaimanapun menyuntik semangat kepada parti itu.

MCA meletakkan beberapa syarat asas untuk menjadi calon parti, termasuk mempunyai kelayakan pendidikan menengah atas, kefasihan berbahasa Melayu, menyempurnakan kursus yang ditetapkan parti, aktif dalam kegiatan parti serta mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. – MalaysiaGazette