PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KEPALA BATAS – Rahsia sebuah premis yang dipercayai menjadi pusat perjudian nombor ekor haram dengan berselindung di sebalik perniagaan lain terbongkar, dalam satu serbuan di Kepala Batas, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil risikan dan intipan dijalankan, pihaknya menyerbu premis itu pada pukul 3 petang semalam dan menahan pemiliknya yang merupakan ejen judi ekor haram sejak beberapa bulan lepas malah pernah diserbu sebanyak tiga kali sebelum ini.

“Selain premis itu, pihak polis turut menyerbu tiga lagi premis di Kepala Batas dan Butterworth dan menahan tiga lagi lelaki kerana menjadi ejen judi loteri atau ekor haram serta menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Semua empat premis itu turut berselindung di sebalik perniagaan lain termasuk kedai peralatan elektrik, kedai kopi dan kedai tambah nilai syarikat komunikasi malah ada ejen-ejen tersebut tidak serik ditahan polis kerana mereka mampu mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap minggu hasil kegiatan haram tersebut,” katanya  di sini hari ini.

Katanya, empat lelaki berusia antara 37 hingga 52 tahun itu direman bagi membantu siasatan dan polis turut merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian tersebut serta wang tunai RM607 daripada mereka.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan bagi membanteras kegiatan judi loteri awam haram serta judi dalam talian bagi memastikan Daerah SPU bebas daripada aktiviti tidak sihat ini dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar menyalurkannya kepada polis untuk sama-sama membanteras jenayah itu. – Bernama