Mohd Dendera Billah Zamzuri
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri

KUALA LUMPUR – Langkah Tun Dr Mahathir Mohamad bersama lima ahli Parlimen Bersatu untuk kekal bersama Warisan sebagai blok bebas dilihat bertentangan dengan tujuan asal parti itu yang dibawa masuk ke Sabah.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri, walaupun perkembangan itu dilihat sihat dan memberi kekuatan kepada Warisan di Sabah, namun ia sekadar satu lagi formula politik daripada Mahathir.

“Jika kita imbas kembali apakah tujuan Tun M menubuhkan Bersatu di Sabah. Adakah untuk tujuan pecah dan perintah (antara UMNO Sabah ataupun Warisan)?

“Terlalu banyak teori dan formula politik yang sedang diuji oleh Tun M khasnya buat pemimpin-pemimpin tertinggi negara

“Walaupun dengan keadaan Covid-19 dan ekonomi negara dalam proses pemulihan tetapi Tun M masih terus memberi tekanan mengajak mereka untuk sama terikut dengan irama yang sedang didendangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bersama enam ahli Parlimen Bersatu yang setia menyokong Dr Mahathir hari ini yang mengumumkan akan kekal bersama Warisan sebagai blok bebas.

Malah, mereka juga tidak bergabung dengan mana-mana gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH) yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan tersebut adalah daripada Mahathir (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Mohd Dendera Billah juga mempersoalkan tindakan itu kerana satu lagi helah untuk mengagalkan harapan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) mentadbir semula Kerajaan Persekutuan.

“Selepas beberapa pilihan raya kecil (PRK) terutamanya Kimanis, di mana rakyat Sabah (Kimanis) lebih selesa dengan corak kepimpinan Barisan Nasional (BN).

“Buktinya parti kerajaan Sabah (Warisan) tewas, walaupun Bersatu dan Kerajaan PH memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada calon Warisan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan helah sebenar Dr Mahathir menamakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hanyalah untuk mengubah sokongan rakyat Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun PRK Kimanis tidak boleh mengambarkan sokongan rakyat Sabah secara total kepada BN, tetapi adakah dengan cadangan Tun M untuk Datuk Seri Mohd Shafie sebagai calon PM bakal merubah senario politik Sabah.

“Adakah sokongan bekas Bersatu dan Warisan boleh berubah ini semua sebelum PRU15?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.