Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. foto IQBAL BASRI, 18 JULAI 2019

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO berpendapat cadangan mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) sebagai sebuah gabungan parti politik yang sah akan mendapat tentangan ramai pemimpin Barisan Nasional (BN).

Sambil berkata perkara tersebut masih pada peringkat perbincangan, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menambah, ramai yang masih mahu kekal di bawah naungan BN dan menggunakan logo parti berkenaan.

“Pendaftaran PN masih dibincang lagi, tapi nampaknya ramai tidak bersetuju, masih nak guna BN dengan semboyan terkenal, orang dah biasa dengan lambang tu banyak jasa BN,” katanya ketika ditemui di Menara Datuk Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Terdahulu beliau hadir mesyuarat pra-majlis Ahli Parlimen UMNO dan BN sebagai persediaan persidangan Dewan Rakyat yang akan berlangsung esok selepas Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan beberapa bulan yang lalu.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan bahawa parti itu akan mempertahankan semua kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini pada pilihan raya tahun depan, Tengku Razaleigh berkata, ia sememangnya wajar.

Tidak perlu perbincangan malah, ujar beliau, BN berhak mempertahankan semua kerusi milik parti tersebut sebelum ini.

“Memang kerusi kita kita kena bertanding. Dia (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) cakap nak bincang, kita tidaklah bincang sebab memang kerusi kita.

“Tidak bertegas, memang kita cakap kerusi kita, kompromi apa kalau kerusi kita, rumah awak orang nak, awak mahu kompromi?” soal beliau.

Untuk rekod, selepas Annuar menyatakan pendirian mewakili BN berkenaan kerusi, lain pula pendapat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu  melalui meja rundingan terlebih dahulu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kat negara lain boleh jer…tubuh kerajaan perpaduan.. coalition govt. BN+PAS+GPS + Bersatu + PBRS dll..ok jer..kat UK pun pernah ada Konservatif+ Lib Dem. kat Australia, kat NZ malahan kat Indonesia. PDIP dan Pak Jokowi ok jer tubuh kerajaan dgn parti2 lain…tak de masalah jgn duk cari masalah lah..

Comments are closed.