Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat membuktikan Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan pintu belakang.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kejayaan usul ini merupakan satu simbolik bahawa Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk meneruskan pentadbiran.

“Tiada lagi istilah kerajaan pintu belakang. Tidak perlu lagi mempertikaikan keabsahan kerajaan ini.

“Tan Sri Datuk Mohamad Arif Md Yusof bertindak cukup profesional dalam memberikan laluan kepada usul ini.

“Bahkan beliau memberikan ruang kepada Timbalan Speaker untuk mengendalikan usul memandangkan beliau menjadi pihak berkepentingan.

“Ini contoh seorang yang professional. Saya fikir, individu sebegini boleh diberikan kepercayaan untuk memikul amanah penting yang lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Usul Perdana Menteri untuk menyingkirkan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof daripada jawatan speaker diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon ketika mengumumkan keputusan itu berkata, seorang ahli Parlimen tidak hadir.

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast