KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Bahagian Baitulmal telah membantu seramai 233 asnaf dengan jumlah RM281,300 menerusi Bantuan Musibah sehingga Jun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIWP, Datuk Akbar Samon berkata, skim bantuan tersebut adalah Skim Bantuan Musibah yang membantu mangsa-musibah seperti kebakaran, ribut dan lain-lain bencana alam.
“Pada hari ini, kita juga membantu mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran yang berlaku di PPR Gombak Setia pada 6 Julai lalu di kawasan tempat letak kereta Blok 41.
“Saya difahamkan kejadian yang berlaku pada jam 5.05 minit pagi telah memusnahkan 47 buah motosikal dan 12 buah kereta.
“Oleh itu, atas amanah para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan, MAIWP akan memberikan bantuan kepada 50 orang pemilik kenderaan yang terlibat dalam kebakaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Musibah Kerajaan PPR Gombak Setia hari ini.
Pada majlis itu, bantuan musibah yang disalurkan kepada mangsa terbabit berjumlah RM1,000 sehingga RM2,000 mengikut tahap kerosakan kenderaan dengan jumlah keseluruhan melibatkan RM60,500.
Dalam pada itu, Akhbar berkata, salah satu skuad di bawah MAIWP adalah Skuad Musibah yang akan turun padang jika berlaku kebakaran, banjir dan bencana alam dalam masa 48 jam selepas maklumat diterima.
“MAIWP juga mempunyai Skuad Jejak Asnaf Baitulmal yang berperanan turun padang mencari dan menyantuni mereka yang dalam kesusahan di Wilayah Persekutuan.
“Skuad akan turun padang secara berkala ke kawasan-kawasan yang dikenalpasti terdapat asnaf atau mereka yang dalam kesusahan dan juga berdasarkan maklumat yang diterima oleh orang ramai,” katanya.
Jelasnya, bagi memudahkan orang ramai membuat laporan mengenai mereka yang dalam kesusahan di Wilayah Persekutuan, MAIWP telah mewujudkan aplikasi mudah alih iaitu Jejak Asnaf (MoJA).
“Sehingga kini, Baitulmal MAIWP telah menerima sebanyak 52 laporan MoJA ini dan Sahabat MAIWP seramai 270 orang setiap malam.
“Saya menyeru orang ramai menjadi sahabat MAIWP, membantu menyalurkan maklumat kepada Skuad Jejak Asnaf Baitulmal menggunakan aplikasi MoJA yang boleh dimuat turun dari Google Play Store.
“Manakala pengguna Apple, ia dijangka berada di Apple AppStore dalam masa terdekat,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, MAIWP menerusi Misi Mua’ssadah Covid-19 telah menyalurkan sejumlah RM45.59 juta pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ke hari ini.
“Antara bantuan yang diberikan adalah Bantuan Kecemasan yang diberikan kepada mereka yang terjejas pendapatan ekoran Covid-19 di mana kita telah membantu seramai 17,492 orang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette