Mohd Azis Jamman

KOTA KINABALU – Pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan segera berkaitan tindakan pihak tertentu yang didakwa ‘mengganggu gugat’ ketenteraman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan di negeri itu.

Ahli Parlimen Sepangar, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, ini berikutan gesaan daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa laporan polis juga telah dibuat serta berharap agar siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang menghantar mereka untuk mendesak serta mengugut wakil rakyat kerajaan.

Katanya, beberapa laporan polis telah dibuat termasuk beberapa bukti perbualan whatsapp antara ejen yang menganggu ADUN kerajaan.

“Kita yakin pihak berkuasa di negara ini bersikap adil dengan mengamalkan budaya integriti yang tinggi sekaligus berjaya menyelesaikan masalah ini dalam tempoh terdekat.

“Dalam tempoh sama kita difahamkan ada beberapa Adun yang ditemui pihak tertentu, malah ada yang masuk dalam rumah. Perkara ini bukan berlaku sekali sahaja, malah sudah berulang kali dan ini dilihat menggangu gugat ketenteraman individu terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam merasmikan Majlis Pengagihan sebanyak 90 lembu korban kepada Masjid serta Surau membabitkan Dewan Undangan Negeri Karambunai (Dun) Karambunai dan Inanam dalam Parlimen Sepanggar, di Kampung Warisan Inanam di sini hari ini.

Mohd Azis berkata, beliau yakin ADUN kerajaan di Sabah tetap berpegang kepada prinsip ‘teguh dan setia’ kepada Ketua Menteri Sabah sekaligus bermaruah untuk mempertahankan mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Sementara itu dalam perkembangan sama, ADUN Karambunai Azhar Matussin berkata, pihaknya akan berusaha untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk memastikan tindakan bagi mewartakan Kampung Warisan, Inanam sebagai kampung yang sah dalam tempoh terdekat.- MalaysiaGazette