Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) dan barisan jemaah menteri mengibarkan jalur gemilang pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Semua kementerian dan agensi kerajaan diminta menggalakkan penyertaan aktif semua lapisan masyarakat dalam usaha menyemarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara program yang boleh dilakukan iaitu, Info On Wheels Merdeka (IOW Merdeka), Merdeka@Komuniti, Pertandingan
Pidato Kenegaraan dan Pertandingan Fotografi KLIK@Merdeka.

Katanya, kesemua aktiviti itu boleh menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita ingin lihat semangat patriotisme ini sentiasa mekar dalam hati kita. Setiap tahun semangat ini akan kita perkukuhkan lagi di sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

“Mudah-mudahan dengan cara ini rasa cinta kita kepada negara tidak akan kunjung padam sampai bila-bila,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 di Dataran Perdana Putra, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut menteri-menteri Kabinet dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Menurut Muhyiddin, apa yang ingin disuburkan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah semangat patriotisme iaitu perasaan cinta yang mendalam dalam diri kepada negara tanah serta tumpah darah ini.

Katanya, beliau percaya perasaan cinta kepada negara inilah yang boleh menjadi tali pengikat utama kepada perpaduan bangsa di negara ini.

Ujarnya, bersempena dengan sambutan bulan kebangsaan, rakyat diminta mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing, di bangunan-bangunan pejabat dan gedung perniagaan serta di kenderaan.

“Ini dilakukan setiap tahun sebagai tanda rasa cinta kita kepada Malaysia. Bagi pelajar sekolah, amalan mengibarkan bendera kebangsaan ini menjadi kebiasaan di kalangan semua pelajar di awal usia mereka.

“Para guru perlu meneruskan amalan ini supaya ia kekal sebagai suatu tradisi yang baik di kalangan generasi muda dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya. – MalaysiaGazette