KUALA LUMPUR – Menjelang keputusan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd hari ini, penyokong mula membanjiri Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi tadi.
Walaupun para penyokong ahli Parlimen Pekan itu hanya dibenarkan berada di luar pagar pekarangan bangunan mahkamah itu, namun pihak polis kelihatan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk membuat sekatan jalan di sini.
Tinjauan MalaysiaGazette seawal jam 6.50 pagi tadi mendapati kehadiran para penyokong Bossku itu boleh dilihat dengan kehadiran lebih 10 buah bas persiaran yang diletakkan di bahu jalan berdekatan Masjid Wilayah Persekutuan tidak jauh dari mahkamah itu.
Bagaimanapun para penyokong yang memakai baju berwarna merah yang tertera perkataan Bossku hanya berjalan masuk memenuhi kawasan mahkamah itu kira-kira jam 8 pagi tadi.
Meskipun kedengaran laungan hidup bossku oleh sekumpulan penyokong yang hadir lebih awal, namun keadaan di sini masih terkawal dan tiada insiden tidak diingini berlaku setakat ini.
Petugas media antara yang terawal hadir di kawasan ini dan MalaysiaGazette dimaklumkan ada yang sudah berada di mahkamah ini kira-kira jam 5 pagi tadi.
Ketika ini, para penyokong dan petugas media masih lagi menunggu di luar pagar mahkamah susulan pihak keselamatan mengawal ketat pintu masuk utama. – MalaysiaGazette