KUALA LUMPUR – Semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli serta penyokong UMNO diminta bertenang serta akur dengan keputusan mahkamah.
Nasihat itu diberikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan mahkamah terhadap kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didapati bersalah terhadap ketujuh-tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kuasa melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
“Kita akur dengan keputusan mahkamah. Saya menyeru semua pucuk pimpinan parti di semua peringkat dan ahli-ahli parti serta penyokong bertenang.
“Kita percaya Datuk Seri Najib masih ada ruang untuk mendapatkan keadilan melalui proses perundangan negara.
“Saya turut bersedih dengan keputusan ini dan yakin Datuk Seri Najib seorang yang cekal dan tabah,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melalui hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bersama pemimpin UMNO dan BN hadir memberikan sokongan kepada Ahli Parlimen Pekan di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, pagi tadi.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika membacakan kehakiman beliau berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes yang dibawa terhadap tertuduh.
Najib, 66, yang berdepan tiga dakwaan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa itu kelihatan tenang tanpa apa-apa reaksi ketika penghakiman itu dibuat. – MalaysiaGazette
BN tak perlu duk dlm PN lah…skrg ni penyokong BN terpecah 2..satu yg masih sokong PN..dan satu lg yg marah dgn kezaliman PN terhadap Najib
Mensabitkan DS Najib dengan kesalahan menunjukkan ketelusan kerajaan PN. Dulu zaman BN kes2 semacam ini dilupuskan, begitu juga dizaman PH memerintah keadaan yg sama berlaku, tapi diera kerajaan PN ketelusan terzahir. UMNO Tak perlu berpecah. Terima hakikat dan bersabar. Lepas ini LGE pula ke penjara kerana kes terowong. Inilah ketelusan yang semua orang mahu termasuk DAP/PH war-warkan selama ini.