Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Saksi ke-9 perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengakui urus niaga antara syarikat itu dengan  International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi pada 2012 adalah satu penipuan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendakwa beliau dirinya tidak begitu arif tentang urus niaga tersebut, sebaliknya telah menyerahkan kepada kumpulan berkomplot ini untuk kendalikannya dengan anggapan semuanya ‘ok’.

Ketika sesi soal balas antara Shahrol dengan peguam bela, Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi itu turut mengakui setelah sekian lama beliau merasakan sememangnya urus niaga itu adalah untuk menggelapkan dana 1MDB.

Wan Aizuddin: Sebagai CEO 1MDB, bukankah sudah menjadi tanggungjawab anda untuk menyemak semua maklumat dalam dokumen dalam keadaan terurus dan teratur?

Shahrol: Saya ketika itu telah meletakan keseluruhan kepercayaan terhadap pegawai-pegawai saya dan tidak sesekali mengesyaki sebaliknya.

Kalau mereka cakap ‘ok’, maknannya semua dalam keadaan teratur.

Wan Aizuddin: Tapi anda tidak boleh lepas tangan begitu sahaja?

Shahrol: Saya tidak lepas tangan, saya cuma rasa mereka semua cukup kompeten untuk semak dokumen mewakili saya.

Wan Aizuddin: Adakah anda bersetuju urus niaga ini adalah satu penipuan bagi menipu lembaga pengarah?

Shahrol: Pada masa itu, saya tidak perasan. Tetapi kini rasanya itu yang betul.

Ketika Wan Aizuddin bertanya adakah Sharol turut berkomplot dengan kumpulan ini untuk menggelapkan dana 1MDB, saksi menafikan berkali-kali.

Dalam pada itu, Shahrol turut mengakui beliau tidak pernah menerima arahan secara terus daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan perjanjian jaminan urus niaga tersebut.

Saksi iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Sebaliknya dakwa Shahrol, beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan  Low Taek Jho atau dikenali Jho Low sahaja.

Selain itu, saksi itu juga mendedahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang terlibat dalam rundingan jaminan oleh IPIC berhubung bon 1MDB diatur oleh Goldman Sachs pada 2012.

Jelasnya, IPIC menjamin bon bernilai RM1.75 bilion yang dibangkitkan oleh 1MDB sebahagiannya untuk membeli aset milik unit tenaga Genting Bhd.

1MDB telah membayar AS$577 juta kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang pada mulanya dipercayai anak syarikat IPIC namun kemudian didapati syarikat yang berpangkalan di British Virgin Islands adalah palsu.

Syarikat itu diketahui berada di bawah kawalan Jho Low.

Bayaran itu adalah untuk deposit sekuriti bagi bon bernilai AS$1.75 bilion yang diuruskan Goldman Sachs bagi 1MDB membeli aset tenaga dengan IPIC sebagai penjamin.

Perbicaraan akan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah esok. –MalaysiaGazette