Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu mengambil perhatian serius terhadap implikasi negatif dasar kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada alam sekitar.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu mengambil perhatian serius terhadap implikasi negatif dasar kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada alam sekitar.

Pengerusi Kelab Gemilang, Naim Brundage mendakwa berdasarkan anggaran kasar dasar pemakaian mandatori pelitup muka berpotensi untuk menambah sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula sebanyak 62,000 tan setahun .

“Ini disusuli dengan sisa tercemar sebanyak 31,000 tan dan 27,000 tan bagi sisa pembungkusan plastik negara dalam tempoh setahun jika tabiat memakai pelitup muka pakai buang diteruskan dalam kalangan rakyat kebanyakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Naim Brundage
Pengerusi Kelab Gemilang, Naim Brundage

Bermula 1 Ogos 2020, kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam dan berada di tempat-tempat tumpuan awam bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sekiranya mana-mana gagal berbuat demikian, mereka boleh didenda sehingga RM1,000 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sehubungan itu, Kelab Gemilang menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri menggalakkan rakyat dengan pemakaian pelitup muka jenis fabrik yang menepati garis panduan ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Pelitup muka jenis ini perlu mempunyai 3 lapisan yang terdiri daripada lapisan paling dalam yang bersifat menyerap air (hidrofilik) dan lapisan paling luar yang diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air (hidrofobik).

“Lapisan tengah hidrofobik pula diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik seperti polipropilena atau lapisan kapas yang boleh meningkatkan penapisan atau menahan titisan cecair,” katanya.

Katanya lagi, berdasarkan garis panduan WHO, pelitup muka perubatan pakai buang yang kini dipakai oleh sebilangan besar rakyat Malaysia hanya perlu dipakai oleh petugas kesihatan, orang awam yang mempunyai gejala dan orang awam yang berisiko tinggi seperti warga emas dan penghidap penyakit kronik.

“Pihak kami pasti bahawa pencemaran alam sekitar dan penghasilan sisa plastik tidak terkawal boleh dibendung jika rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengikuti garis panduan yang ditetapkan WHO.

“Antara langkah sewajarnya ialah dengan memilih untuk memakai pelitup muka jenis fabrik yang boleh dipakai semula selepas dibasuh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette