Suspek yang dipercayai suami kepada seorang pensyarah yang dibunuh menggunakan tudung hingga mati dibawa ke lokasi untuk mencari bahan bukti bersama pegawai polis dan Pasukan Gerakan Marin ketika di Tasik Taman Putra Perdana Puchong. foto MOHD ADZLAN, 4 OGOS 2020.

SEPANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali ke Tasik Taman Putra Perdana untuk meneruskan siasatan kes pembunuhan seorang wanita di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana, Rabu lalu.

Unit Forensik dan Unit Selam Marin PDRM dilihat memasuki tasik berkenaan seawal jam 11 pagi.

Ia termasuk aktiviti menyelam ke dasar tasik berkenaan dipercayai untuk mencari bahan bukti bagi membantu siasatan.

Suspek yang berpakaian reman dan bergari dilihat menunjukkan lokasi dipercayai telefon bimbit mangsa dibuang.

Satu bungkusan berwarna lutsinar dipercayai barang bukti turut diambil oleh pasukan polis.

Sebelum ini dilaporkan suspek telah dibawa kesini bagi menunjukkan tempat dia membuang telefon bimbit jenis Samsung milik mangsa di dalam tasik berkenaan namun polis tidak menemuinya.

Suspek yang juga seorang pensyarah dipercayai menjerut leher isterinya menggunakan tudung sebelum mayatnya ditemui berhampiran tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya, Dengkil, di Sepang, minggu lalu.

Suspek dipercayai tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan perceraian.

Lelaki itu bersama anak perempuan berusia 14 tahun selepas membunuhnya sebelum menghubungi Mers 999 mendakwa menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 1.04 pagi.

Suspek direman sehingga 6 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes jerut isteri: Curiga pasangan ada ‘kekasih gelap’ punca pensyarah minta cerai