Siqma muncul dengan single terbaharu, Raja Simurgh.

KUALA LUMPUR – Siqma bukanlah suatu nama yang asing dikalangan peminat arena Hip Hop tempatan.

Penyanyi rap, komposer dan penerbit ini mula menceburkan diri dalam arena Hip Hop tempatan pada tahun 2016, dan namanya mula meniti di bibir peminat, apabila Siqma menerbitkan sendiri lagu-lagu ciptaannya yang dikongsikan menerusi laman YouTube sejak tahun 2017.

Memiliki rentak dan gaya tulisan berkonsepkan ritma atas puisi, Siqma banyak menumpukan kepada pengalaman dan perspektifnya dalam menyampaikan mesejnya.

Pada pertengahan tahun 2019, karya-karya ciptaan Siqma berjaya menambat hati peminat Hip Hop sehingga tular dan mendapat jolokan The New Malique oleh peminat.

Pada April lalu, di bawah naungan Universal Music Malaysia, Siqma tampil ke arena arus perdana dengan melancarkan dua lagu ciptaannya berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak.

Cemas mengambil inspirasi daripada situasi panik yang tercetus dikalangan masyarakat Malaysia ketika sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang lalu, Siqma cuba menyampaikan mesej untuk kekal tenang semasa menghadapi gelombang pandemik Covid-19.

Lagu Salam 1001 pula ditulis sebagai penghargaan terhadap semua pihak yang menjadi tulang belakang kejayaan karier seninya sekarang.

Tidak terhenti di situ saja selepas melancarkan dua karya ini, kini Siqma kembali lagi dengan single terbaharu berjudul Raja Simurgh yang turut menampilkan rapper Kmy Kmo yang sebelum ini popular dengan lagu Zuhud dan Tujuh Nasihat hasil kolaborasinya bersama Luca Sicta, Datuk M.Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Raja Simurgh merupakan ciptaan Siqma sendiri manakala lirik ditulis bersama Kmy Kmo. Mengambil konsep ritma atas puisi yang mengekalkan ciri kemelayuan di dalam lagu Hip Hop, lagu ini mengambil inspirasi melodi lagu rakyat Rasa Sayang yang digabungkan dengan rentak Hip Hop beserta senikata laksana puisi.

Raja Simurgh diilhamkan daripada sebuah buku tulisan penyair sufi berbangsa Parsi dari abad ke-12, Faridu’Din Attar yang berjudul Mantiqu’t-Thair atau dalam bahasa Melayu membawa maksud Musyawarah Burung.

Buku ini berkisar tentang perhimpunan burung dari segenap pelusuk dunia yang berbahas dalam pencarian mencari raja sejati mereka, burung Simurgh. Ini bukanlah pertama kali, buku tulisan Faridu’Din Atta ini menjadi sumber inspirasi pengkarya muzik tempatan.

Siqma pernah tampil dengan dua lagu ciptaannya berjudul Cemas dan Salam 1001 secara serentak pada April lalu.

Sebelum ini, M.Nasir yang pernah popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud turut mengangkat subjek ketuhanan ditulis dalam buku penyair sufi zaman silam itu.

Menjelaskan maksud Raja Simurgh itu, Siqma berkata, lagu itu lebih menceritakan situasi mengenai kepentingan hidup atau wujud secara umum seperti tingkah laku dan amalan kita, moral, kesetiaan kita kepada agama dan banyak lagi mengenai diri kita.

“Raja Simurgh adalah peringatan bagi kita untuk selalu bergantung pada diri kita sendiri kerana pada akhirnya, hanya kita sendiri yang tahu apa yang terbaik untuk diri kita.

“Iaanya bukan lagu ketuhanan tapi lebih kepada mesej positif untuk santapan rohani dan minda pendengar,” katanya.

Sebagai pendatang baru, Siqma mengakui percaya kepada keikhlasan juga adalah kunci utama untuk tampil sebagai pengkarya yang meyakinkan. Justeru, dia sangat berharap Raja Simurgh akan   membuka   mata   pendengar   untuk  mendalami  setiap  mesej  yang disampaikan  dalam  liriknya.

Bukan  sekadar  pendengar  Hip  Hop,  malah lagu ini boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat.

“Semestinya, saya tidak mahu mensasarkan lagu ini kepada pengikut muzik Hip Hop saja khususnya. Sebaliknya, saya mahukan lagu ini memberi teladan dan mesra telinga kepada semua pendengar dari pelbagai latar belakang. Saya percaya peminat muzik sudah cukup bijak menilai estetika sesebuah karya itu tanpa mengira genre yang ditampilkan,” jelasnya lagi.

Single terbitan Universal Music Malaysia itu sudah boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast