Ahmad Zahid Hamidi

TANJUNG MALIM – Barisan Nasional (BN) belum mengenal pasti calon-calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, parti itu juga belum mengenal pasti kawasan yang akan ditandingi.

“Belum ada keputusan yang dibuat, belum ada kawasan dikenal pasti. Jauh daripada mengenal pasti calon. Maka perkara itu (siapa bertanding di mana)  belum timbul lagi,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas melancarkan Jentera BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim dan Penyerahan Bahagian Angkat di Dewan Felda Jaya, Trolak di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Sri Kota semalam yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15 kelak.

Selain itu, Ahmad Zahid juga berkata BN, UMNO, Pas dan Bersatu telah membentuk satu jawatankuasa perunding bagi membincangkan agihan kerusi menjelang PRU akan datang.

“Apabila tiba masa, setelah penyelesaian peringkat parti masing-masing maka jawatankuasa ini akan duduk berbincang mengenai pembahagian kerusi dan hanya akan dimuktamadkan oleh presiden parti masing-masing,” katanya sambil menambah setakat ini belum ada perbincangan terperinci dibuat. – Bernama

2 Komen

  1. Seelok eloknya buat persediaan payung sebelum hujan lebat secara mengejut,supaya semuanya buat persiapan awal dari sekarang tapi jangan diumumkan dahulu dan minta calon merahsiakan semua calon umumkan kepada sesiapa sahaja,ini salah satu strategi untuk menyerang hendap calon lawan.

  2. Semoga kerajaan yang dibins hasil.rancangan , kerjasama dan langkah jahat ni akan berakhir pada PRU15。 Manusia yang tamak, tak sabar, khianat dan mungkir janji akan dihumban ke dalam neraka jahanam

Comments are closed.