Bank Negara
Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia sedang mencatatkan pemulihan dalam keluk berbentuk ‘V’ selepas mengalami impak Covid-19 dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada suku kedua tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, keadaan bagaimanapun masih belum reda berikutan cabaran berkaitan pandemik itu yang masih dihadapi Malaysia serta di negara-negara lain.

Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020 apabila negara terpaksa melaksanakan langkah kawalan pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.

Pada suku kedua 2019, Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.9 peratus.

“(Kita menyaksikan) penguncupan mendadak pada April (ketika langkah-langkah pembendungan dilaksanakan) kepada peningkatan ketara apabila perintah kawalan pergerakan itu dilonggarkan.

“Sehubungan itu, keadaan ekonomi beransur-ansur pulih dan peningkatan itu adalah lebih kukuh pada 2021,” katanya pada majlis taklimat bersama Pengarang-Pengarang Kanan Media pada Khamis lepas. – MalaysiaGazette