KUALA LUMPUR – Perinnbam Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kaum India melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin tidak menunjukkan semangat patriotik untuk menganjurkan program mengibar Jalur Gemilang.
Menurut Pengasas dan Penasihat Agungnya, U. Thamotharan, sehingga hari ini, tidak ada seorang pun wakil rakyat menunjuk minat dalam program itu, apatah lagi mengedar atau mengagihkan Jalur Gemilang di kawasan masing-masing.
Padahal, katanya, kos Jalur Gemilang tidak besar sangat sehingga wakil rakyat terpaksa menunggu peruntukan dari kerajaan untuk menyediakan Jalur Gemilang.
“Tinggal tujuh hari lagi negara akan meraikan sambutan Hari Kemerdekaan. Sehingga hari ini, kami tidak nampak atau kedengaran ada wakil rakyat mengagihkan Jalur Gemilang, atau menganjurkan program melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan.
“Amat mengecewakan dengan keadaan dingin ini. Masing-masing sibuk berbalah di Parlimen dan di luar Parlimen mengenai isu politik,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas program pengagihan Jalur Gemilang kepada orang ramai di pekarangan UTC Sentul, di sini, semalam.

Menurut Thamotharan, Perinnbam Malaysia memperuntukan kira-kira 10,000 Jalur Gemilang untuk diagihkan menerusi NGOnya di tujuh negeri iaitu Pahang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pulau Pinang dan Kedah bermula semalam sehingga 28 Ogos ini.
Beliau berkata, Jalur Gemilang itu akan diagihkan khusus kepada murid sekolah rendah kerana pada usia itu, mereka mudah faham makna perpaduan dan maksud sebenar kemerdekaan.
Menurutnya, program itu mendapat kerjasama Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, wira dan wirawati Karate Kuala Lumpur, Hayashi-Ha Karate Kuala Lumpur dan Karate Putrajaya, Setiausaha Agung Perinnbam Malaysia Kuberan S, Setiausaha Kehormat MIC Gombak merangkap Koordinator DUN Sungai Tua, Gobiraj Kathan, sukarelawan Perinnbam Malaysia dan sukarelawan Hayashi-Ha Karate Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















