Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Ceramah Muafakat Nasional sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River, Perak. foto AFFAN FAUZI, 23 OGOS 2020

SLIM RIVER – UMNO dan Pas berjanji tidak akan membubarkan Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan pada September tahun lalu demi kepentingan ummah, agama dan negara ini.

Sebaliknya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus memperkasakan MN bukan sahaja pada Pillihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tegas beliau, dinamika politik negara ini kini perlu menjemput parti-parti lain menyertai MN seperti MCA dan MIC yang menjadi sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) yang sentiasa mendokong MN.

“Kawan-kawan kita di Sabah juga sebahagian daripada BN dan mereka mendukung kita. Ertinya ini satu dinamika politik yang harus akui realiti siasah politik baharu di negara kita.

“Kalau ada pun permasalahan, ini adalah permasalah furuq (cabang), asalkan pokok itu ada tempat untuk bertunjang pada akar yang kukuh.

“Asalkan juga parti itu mempunyai ranting yang kukuh biarpun kadang kala pokok yang tinggi di antara lain, pokok itulah akan kena angin kencang atau petir. Akar itu UMNO dan Pas, pokok itu akan menaungi dan melindungi ummah di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Muafakat Nasional di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi di sini malam ini.

Turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya PAS Razman Zakaria. – MalaysiaGazette