Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beruas dari DAP, Datuk Ngeh Koo Ham diarah keluar dewan kerana mengganggu penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Covid-19) 2020 oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum itu, memberi nasihat kepada Koo Ham supaya duduk dan tidak mengganggu penggulungan berkenaan, tetapi beliau enggan mematuhinya.

“Semua duduk bertenang. (bincang) Covid ni Covid. Tolong duduk. (YB) Beruas, amaran pertama, amaran kedua, duduk.. amaran ketiga, duduk.. saya mahu kamu keluar dewan sekarang.. keluar dewan sekarang sehingga esok baru boleh datang.

“Saya beri amaran kepada semua, siapa saja yang buang masa, saya usir keluar dewan sekarang… YB Menteri Kewangan, sila teruskan… YB Beruas, sila keluar.. tolong keluar,” kata Azhar Azizan ketika mempengerusi perbahasan RUU Covid-19 2020 di Parlimen, hari ini.

RUU Covid-19 itu dibacakan kali yang kedua dan mendapat persetujuan Ahli Parlimen kerajaan.

Pembangkang tidak setuju bagi bacaan kedua kerana cadangan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim agar kerajaan mengemukakan senarai kontrak berkenaan didedahkan kepada awam.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah oleh beberapa Ahli Parlimen kerajaan, termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyatakan, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan sebelum ini, mereka tidak berbuat demikian.

Kenyataan Mohamed Azmin itu menimbulkan kemarahan pihak pembangkang yang menyifatkan Menteri Kanan itu tidak ada hak untuk bercakap kerana beliau seorang pengkhianat.

RUU Covid-19 adalah akta untuk mengadakan peruntukan bagi langkah-langkah sementara yang berkaitan dengan pembiayaan kerajaan untuk mengurangkan penularan Covid-19 dengan menaikkan had amaun dengan jumlah amaun wang yang boleh diperdapat di bawah Akta Pinjaman Tempatan 1959 Ata 637 dan sejumlah amaun wang yang boleh diperdapat di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 Akta 275. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.