KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad (Amanah) mempersoalkan kenapa kerja menetapkan sempadan Kuala Lumpur dan Selangor masih tidak selesai sehingga hari ini walaupun sudah menjangkau 26 tahun.
Katanya, ketika menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2 Julai 2018, beliau telah mengarahkan Jabatan Tanah dan Galian agar menyelesaikan masalah berkenaan dalam tahun itu juga.
Bagaimanapun, kata beliau, berlaku perubahan kerajaan pada akhir Februari lalu dan berharap menteri yang baharu, Tan Sri Annuar Musa dapat memberi tumpuan untuk menyelesaikan persempadanan itu.
“Antara perkara yang paling mengejutkan apabila saya dilantik menteri (Julai 2018 hingga 24 Februari 2020) saya didapati sempadan Kuala Lumpur dan Selangor tidak selesai lagi.
“Ini bukan soal dua tahun atau tiga tahun tetapi 26 tahun iaitu sejak pembentukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1994 lagi, dan masih ada 18 kawasan sempadan yang sehingga kini belum diselesaikan,” katanya di Parlimen hari ini.
Menjawab kemusykilan yang ditimbulkan Khalid, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara berkata, untuk menyelesaikan satu-satu sempadan, perkara teknikal perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Saya hormati YB Shah Alam namun demikian pernyataan yang tidak termasuk dalam soalan utama tidak perlulah saya jawab.
“Memandangkan YB bertanya, saya hanya perlu jawab bahawa YB sepatutnya faham perkara teknikal yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Perkara teknikal seperti persempadanan dan pengukuran ini jelas, ianya melibatkan tanah negeri Selangor…,” katanya yang tidak dapat meneruskan jawapan kerana diganggu oleh Khalid dan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) lain.
Sebelum itu, Dr. Edmund menjelaskan, proses persempadanan itu melibatkan beberapa jawatankuasa peringkat kedua-dua pihak melibatkan Wilayah Persekutuan dan Selangor. – MalaysiaGazette

















Sembang bikin bimbang