Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyerahkan kepada polis dan Peguam Negara untuk mengambil tindakan lanjut ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali kerana melanggar SOP kuarantin.

Timbalan Menteri I, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, bagi kementeriannya hukuman kompaun sebanyak RM1,000 telah dikenakan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerus atas kesalahan yang dilakukan.

Beliau berkata, berkaitan pelanggaran SOP, tidak ada sesiapa boleh mengatasi undang-undang, baik mereka itu menteri atau orang awam.

“Undang-undang ini dibuat bukan hendak mendera sesiapa, tetapi hendak menyelamatkan rakyat di negara ini.

“Bahkan, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri yang pulang dari luar negara pun melalui proses kuarantin 14 hari di rumah,” katanya menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa-PKR) berhubung pelanggaran SOP oleh Dr. Mohd Khairuddin di Parlimen hari ini.

Tidak puas hati dengan jawapan Dr. Noor Azmi, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena-Amanah) bangun mempersoalkan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri pada April lalu, yang menyatakan sesiapa melanggar PKP tiada lagi dikenakan kompaun, sebalik akan terus ditahan untuk dikenakan tindakan mahkamah.

Timbalan Menteri Kesihatan bagaimanapun tidak menjawab pertanyaan itu, sebaliknya meneruskan jawapannya dengan berkata, jika ada kes yang lebih serius dan diambil alih oleh polis untuk siasatan, maka terpulang kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-BN), berhubung peruntukan untuk menangani wabak Covid-19, beliau menyatakan, kementerian diperuntukan kira-kira RM1 bilion.

Jelas beliau, sehingga 7 Ogos lalu, sebanyak RM720 juta telah dibelanjakan bagi pelbagai perbelanjaan seperti pembelian peralatan dan lain-lain perkhidmatan dalam usaha mengawal Covid-19.

Mengenai vaksin Sputnik V yang dihasilkan Russia, Dr. Noor Azmi berkata, setakat ini vaksin berkenaan belum didaftar lagi dan masih dalam ujian pembangunan fasa ketiga oleh kerajaan itu.

“Vaksin ini belum didaftarkan lagi dan kerajaan Russia masih membuat ujian fasa ketiga. Setakat ini, kita menunggu laporan seterusnya dari Russia.

“Kita tidak perlu tergesa-gesa kerana vaksin itu akan melalui proses yang agak lama untuk disahkan keberkesanannya. Bagi Malaysia, sudah tentu kita hendakkan keselamatan dan keberkesanan vaksin itu sebelum membuat keputusan seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast