Gambar hiasan

SINGAPURA – Harga minyak mentah naik lebih tinggi pada hari ini ketika ribut melanda Teluk Mexico, menghentikan lebih dari separuh pengeluaran minyak di rantau ini, walaupun kenaikan dikekang oleh kebimbangan berterusan terhadap permintaan ekoran sekatan pergerakan bagi menangani penularan koronavirus.

Taufan Marco dan ribut tropika Laura melanda Caribbean dan Teluk Mexico pada hari Ahad, memaksa syarikat minyak menarik keluar pekerja dari pelantar di luar pesisir dan menghentikan pengeluaran minyak.

Pengeluar minyak telah menghentikan 58% pengeluaran minyak luar Teluk dan 45% pengeluaran gas asli pada hari Ahad.

Wilayah ini menyumbang 17% daripada jumlah pengeluaran minyak dan 5% daripada pengeluaran gas asli di Amerika Syarikat.

Kontrak hadapan Brent menokok AS$0.08 atau 0.2% kepada AS$44.43 setong manakala West Texas Intermediate naik AS$0.07 atau 0.2% kepada AS$2.41 setong.

Kedua-dua penanda aras susut kira-kira 1% pada hari Jumaat susulan kebimbangan ekonomi dan kenaikan bekalan minyak mentah.

“Minyak mentah naik lebih tinggi kerana masalah berganda di Atlantik yang boleh menyebabkan gangguan besar dengan operasi minyak di Teluk Mexico.

“Namun, kenaikan minyak cenderung disenyapkan ketika ketidakpastian penularan virus yang terus membebankan prospek permintaan minyak mentah,” kata Edward Moya, penganalisis pasaran kanan di OANDA yang berpangkalan di New York.

Angka kematian global akibat koroanvirus melepasi 800,000 pada hari Sabtu, dengan Amerika Syarikat, Brazil dan India menyaksikan peningkatan angka korban. – MalaysiaGazette